PROGRAM PENGENALAN DAN LAWATAN HBOT TARIK PERHATIAN KOMUNITI PERUBATAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN 15 Jun 2025 – Program Pengenalan dan Lawatan Khas Terapi Oksigen Hiperbarik (HBOT) anjuran Unit Perubatan Hiperbarik, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) hari ini berjaya menarik perhatian profesional perubatan khususnya dari Jabatan Kecemasan dan Trauma, Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah @ Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Program ini bertujuan memperkukuh kefahaman serta menggalakkan kerjasama antara institusi dalam rawatan moden berasaskan tekanan oksigen tinggi khususnya bagi kes luka kronik dan trauma.
Selain itu, program ini juga bertujuan untuk meningkatkan kefahaman praktikal serta membuka peluang kerjasama pelbagai pihak dalam bidang terapi hiperbarik yang semakin relevan.
Ketua Jabatan, Jabatan Kecemasan HPUSM, Profesor Madya Dr. Hashairi Fauzi dalam ucapan aluannya mengalu-alukan kehadiran peserta yang menyertai program tersebut diikuti taklimat oleh Ketua Unit Perubatan Hiperbarik, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman yang menekankan kepentingan pendedahan klinikal terhadap terapi HBOT kepada pengamal perubatan.
Sesi ilmiah ini turut menyaksikan tiga (3) pembentangan utama oleh pakar HPUSM iaitu Dr. Wan Syahmi Wan Mohamad yang membentangkan tentang indikasi dan kontraindikasi HBOT, diikuti Dr. Ahmad Rasyidi Mohamad mengenai aspek saringan dan pemilihan pesakit manakala Dr. Mohamad Masykurin Mafauzy menjelaskan tentang operasi, latihan dan pentauliahan perkhidmatan HBOT.
Program diteruskan dengan lawatan tapak ke tiga (3) lokasi utama iaitu Klinik Pakar Perubatan Hiperbarik HPUSM, fasiliti Hiperbarik Angkatan Tentera Malaysia di Istana Negeri Kelantan dan Klinik Penjagaan Luka dan Terapi Enterostomal (UTE) di Bangunan Trauma dan Kecemasan, HPUSM.
Teks: Rosalwani Che Soh & Nik Nur Khalisah Umairah Nik Mansuri (Pelajar Latihan Industri UiTM)/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 84