Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PROGRAM SARINGAN MATA HPUSM FOKUS PELAJAR SEKOLAH LUAR BANDAR DI KELANTAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 4 Februari 2026 - Sebagai usaha mengesan masalah awal penglihatan dalam kalangan kanak-kanak, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) mengambil inisiatif menganjurkan program ‘Saringan Mata Pelajar Sekolah’ di Sekolah Kebangsaan (SK) Mempelam Jelawang, Dabong, Kuala Krai, pada 31 Januari lalu.

1000224068

Program ini turut bertujuan mengenal pasti dan merawat pelajar-pelajar yang mengalami masalah mata rabun (myopia) selain memberi pendidikan kesihatan mengenai impak penggunaan gajet tanpa kawalan.

1000224070

Program ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif Program Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Prihatin MADANI menerusi Perkhidmatan Klinik Bergerak HPUSM bagi memperluas akses perkhidmatan kesihatan kepada komuniti luar bandar dan berkeperluan khas.

1000224072

Seramai 50 murid yang mengalami masalah rabun menjalani pemeriksaan kesihatan mata menerusi program ini. Program seumpama ini juga akan dijalankan secara berperingkat membabitkan 10 daerah di seluruh negeri Kelantan pada tahun ini.

1000224076

Program komuniti berimpak tinggi ini bermula dengan memberi latihan kepada kepada guru-guru Pendidikan Kesihatan di sekolah-sekolah untuk mengenal pasti pelajar-pelajar yang mempunyai masalah mata rabun dan gangguan penglihatan di sekolah. Guru-guru Pendidikan Kesihatan yang dilatih akan merujuk pelajar-pelajar yang dikenal pasti tersebut untuk menjalani konsultasi dan pemeriksaan Pakar Mata HPUSM menerusi Program Klinik Bergerak yang akan diadakan di setiap daerah.

1000224074

Program yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Krai, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Persatuan Optometris Kelantan, One Sight Essilor Luxottica Foundation dan Etiqa Takaful Berhad ini dijayakan oleh lima (5) pakar mata, pelajar Sarjana Perubatan (Oftalmologi) USM, pelajar Doktor Perubatan USM tahun 4 dan tahun 5 serta rakan-rakan strategik optometri HPUSM.

1000224078

Turut hadir dalam program ini ialah Timbalan Pengarah (Klinikal) HPUSM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program KPT Prihatin MADANI, Profesor Dr. Zaidi Zakaria; Timbalan Pengarah (Korporat dan Kelestarian) HPUSM merangkap Pengerusi Program Intervensi Mata Rabun dalam Kalangan Pelajar Sekolah di Negeri Kelantan, Profesor Dr. Shatriah Ismail dan Penolong Pengarah Seksyen Tata Kelola, Bahagian Governan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT, Nabihan Najat Mohd Noh.

Sumber Laporan dan Foto: Dr. Norhayati Mohamad

  • Created on .
  • Hits: 170