PROGRAM ‘SCIENCE FOR SCHOOL’ SUNTIK INSPIRASI PELAJAR DALAM BIDANG SAINS KESIHATAN
USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 6 Ogos 2026 – Usaha memperkasa pendidikan dalam bidang Sains (Science), Teknologi (Technology), Kejuruteraan (Engineering) dan Matematik (Mathematics) – (STEM) terus diperkukuh menerusi kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi melahirkan generasi yang berpengetahuan, berkemahiran serta bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Seiring dengan aspirasi tersebut, Program Bioperubatan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Persatuan Kejuruteraan Tisu dan Perubatan Regeneratif Malaysia serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan telah menganjurkan program ‘Science for School’ buat kali ke-8 yang bertemakan ‘Inspiring Future Health Scientists’, semalam.


Program kali ini berjaya menghimpunkan lebih 50 orang pelajar Tingkatan 3 bersama guru mata pelajaran Sains daripada 10 buah sekolah menengah terpilih di daerah Kota Bharu, Bachok, Tumpat, Pasir Mas, Pasir Puteh dan Machang.

Penganjuran program ini bertujuan meningkatkan pengetahuan, memperluaskan perspektif serta menyemai minat pelajar terhadap bidang sains khususnya Sains Kesihatan melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan.

Menurut Pengerusi Program Bioperubatan, PPSK USM yang juga Pengarah Program ‘Science for School’, Profesor Madya Dr. Nurul Asma Abdullah, program ini menampilkan kelainan apabila penyertaan diperluaskan kepada pelajar menengah rendah bagi memupuk minat terhadap bidang sains lebih awal sebelum mereka membuat pemilihan aliran di Tingkatan 4.

“Pada tahun ini kami memberi fokus kepada pelajar Tingkatan 3 kerana ini merupakan fasa penting pendidikan mereka untuk memupuk minat sebelum memilih hala tuju akademik di Tingkatan 4.

“Maklum balas yang diterima pada akhir program amat menggalakkan apabila kebanyakan peserta menyatakan mereka mendapat inspirasi, bersemangat dan yakin untuk meneruskan pengajian dalam bidang sains di peringkat menengah atas seterusnya ke institusi pengajian tinggi,” katanya.
Tambah Nurul Asma, program tersebut juga berperanan sebagai platform awal dalam memupuk minat dan mencungkil bakat muda yang berpotensi menceburi bidang sains, sekali gus menyokong aspirasi negara dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang sains, teknologi dan kesihatan.

Sepanjang program sehari itu, para peserta didedahkan kepada pelbagai aktiviti Sains Kesihatan menerusi empat (4) modul saintifik interaktif secara ‘hands-on’, iaitu ‘Inside the Gut: Anatomy and Physiology of the Digestive System’, ‘The Invisible to Visible: World of DNA’, ‘Stem Cell: Mother Cell of All Cells’, dan ‘From Smear to Species: The Art of Gram Staining’. Pendekatan pembelajaran secara praktikal ini bukan sahaja membantu meningkatkan kefahaman terhadap konsep sains, malah mengubah persepsi bahawa mata pelajaran sains adalah sukar dan membosankan.

Majlis perasmian program ini telah disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah, Unit Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sektor Pembelajaran, JPN Kelantan, Ts. Dr. Anis Salwa Abdullah. Turut hadir ialah pegawai-pegawai dari JPN Kelantan dan pensyarah-pensyarah Program Bioperubatan, PPSK USM.
Teks & Foto: Dr. Wan Ezumi Mohd Fuad
- Created on .
- Hits: 241