Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PSSCM USMKK RAIH TEMPAT KETIGA KESELURUHAN KATEGORI IPT PUTERI KWD11

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 17 Ogos 2026 – Pasukan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan (PSSCM USMKK) mencatat kejayaan membanggakan apabila meraih satu (1) pingat emas, satu (1) pingat perak, tempat keempat serta tempat ketiga keseluruhan bagi kategori IPT Puteri dalam Kejohanan Waja Diri Kali Ke-11 (KWD11) yang berlangsung di Arena Sukan Universiti Sains Malaysia (USM) Azman Hashim, USM Kampus Induk pada 7 dan 8 Ogos lalu.

Penyertaan dalam kejohanan tersebut memberi peluang kepada ahli pasukan mengaplikasikan kemahiran persilatan yang dipelajari selain membentuk jati diri, disiplin, keberanian, keyakinan diri dan semangat berpasukan.

Sebagai persediaan menghadapi kejohanan, pasukan PSSCM USMKK menjalani latihan secara konsisten bermula 16 Jun di bawah bimbingan jurulatih daripada PSSCM Cawangan Kelantan. Komitmen tinggi yang ditunjukkan peserta dalam mengimbangi latihan dan tanggungjawab akademik turut membantu meningkatkan ketahanan fizikal dan mental mereka.

Selain menguji kemahiran dalam pertandingan, kejohanan tersebut turut membuka peluang kepada peserta untuk mengeratkan hubungan silaturahim dengan ahli PSSCM dari seluruh negara serta berkongsi pengalaman bersama peserta daripada institusi pengajian tinggi lain.

Kejayaan yang dicapai menjadi pemangkin kepada pasukan PSSCM USMKK untuk terus berusaha meningkatkan prestasi dan mengharumkan nama universiti dalam bidang persilatan pada masa hadapan.

Sumber Laporan & Foto: Dr. Nur Hartini Mohd Taib dan Nur Fathin Syahidah Mohd Latif

  • Created on .
  • Hits: 77