PSU TINJAU KEJAYAAN USM LAKSANA PROGRAM PEMERKASAAN OKU
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 18 September 2023 – Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) menerima kunjungan delegasi dari 'Prince of Songkla University' (PSU), Pattani, Thailand, hari ini.

Delegasi PSU yang diketuai oleh Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Konflik dan Kepelbagaian Budaya, Institut Kajian Keamanan, Profesor Madya Dr. Srisompob Jitpiromsri disambut oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Samsuddin.

Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar PSU selain berkongsi pengalaman USM menjalankan program pemerkasaan orang kelainan upaya (OKU) dari aspek cabaran dan peluang.

Delegasi lawatan turut dibawa melawat Pusat Transformasi OKU USM - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (PTOKU USM -MAIK) bagi meninjau sendiri pelaksanaan perkhidmatan yang terdapat di Makmal Simulasi Pekerjaan dan Pusat Modifikasi Kerusi Roda.

Turut menyertai lawatan ini ialah Pensyarah Pusat Kajian Konflik dan Kepelbagaian Budaya, Institut Kajian Keamanan, PSU, Fareeda Panjor; Pengerusi Program Bioperubatan mewakili Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, Profesor Madya Dr. Nurul Asma Abdullah dan Ketua Unit Transformasi OKU USM-MAIK, Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim.
- Created on .
- Hits: 225