Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PTOKU USM-MAIK TERIMA KUNJUNGAN DELEGASI PERSATUAN IBU BAPA AUTISME YARING, PATTANI BAGI PERKASA KERJASAMA SERANTAU

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 7 Disember 2025 – Pusat Transformasi Orang Kurang Upaya Universiti Sains Malaysia – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (PTOKU USM-MAIK) hari ini menerima kunjungan delegasi Persatuan Ibu Bapa bagi Individu Autisme dari daerah Yaring, Pattani, Thailand dalam satu lawatan penanda aras yang bertujuan memperkasakan jaringan kerjasama dan pertukaran kepakaran dalam pembangunan komuniti autisme serantau.

1000205456

1000205458

Delegasi yang diketuai Penasihat persatuan tersebut, Zainurdine Nima disambut oleh barisan kepimpinan USM yang diketuai oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Shaiful Bahari Ismail; Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) USM, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak dan Ketua PTOKU USM-MAIK, Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim.

1000205460

1000205462

Pengurusan Kampus Kesihatan turut mengetengah komitmen USM untuk terus menjadi pusat rujukan serantau dalam intervensi, pendidikan serta pemberdayaan golongan OKU selain menekankan kepentingan kolaborasi rentas negara bagi memastikan keberkesanan sokongan komuniti autisme di kedua-dua wilayah. Lawatan ini juga disifatkan sebagai satu langkah penting dalam mengukuhkan hubungan Malaysia–Thailand melalui program pembangunan komuniti dan sokongan keluarga autisme.

1000205464

1000205466

Selain itu, delegasi lawatan turut dibawa meninjau fasiliti dan perkhidmatan yang disediakan di PTOKU USM-MAIK termasuk pendekatan terapi, program latihan kemahiran dan inovasi pemberdayaan OKU yang dibangunkan oleh USM.

1000205468

Turut menyantuni delegasi lawatan ialah Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti, PPSK USM, Profesor Dr. Hamid Jan Jan Mohamed.

Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 327