PUSAT GENOM MANUSIA USM JAYAKAN MISI KEMANUSIAAN RENTAS SEMPADAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 6 Ogos 2025 – Menyedari kesusahan yang dialami penduduk daerah Cho Ai Rong, Wilayah Narathiwat, Selatan Thailand, Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Genom Manusia, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), USM mengambil inisiatif menganjurkan Program Libatsama Komuniti: Sumbangan Prihatin ke Masjid Al-Furqan dan Masjid Darul Hikmah pada 2 Ogos lalu.

Program itu bertujuan menyalurkan sumbangan kewangan dan barangan keperluan asas kepada dua (2) buah masjid di kawasan tersebut iaitu Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan dan Masjid Darul Hikmah di Kampung Air Setia selain mengeratkan hubungan silaturahim antara rakyat Malaysia dan komuniti Islam di Selatan Thailand.

Inisiatif ini menyasarkan peningkatan ilmu serta kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kebersihan dan hubungannya dengan kesihatan. Melalui penglibatan dalam program khidmat komuniti ini, nilai ihsan dan keprihatinan diterapkan dalam diri setiap insan di samping menyokong pembangunan institusi masjid sebagai rumah ibadah, penyebaran ilmu serta pusat komuniti masyarakat Islam serantau.


Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini berlangsung ialah sesi pengenalan bersama pihak pengurusan masjid dan komuniti setempat, penyerahan sumbangan, demonstrasi penjagaan kebersihan diri dan kesihatan gigi serta banyak lagi.

Penglibatan langsung warga USM dalam program libatsama komuniti ini turut membantu membina hubungan yang erat antara institusi pengajian tinggi dan komuniti luar, sekali gus memperkukuh semangat kebersamaan dan tanggungjawab sosial sejajar dengan aspirasi universiti sebagai institusi yang mendukung nilai kemanusiaan sejagat.

Diharapkan usaha seperti ini dapat diteruskan dan diperluas pada masa akan datang khususnya dalam membina jaringan kerjasama rentas sempadan serta mendekatkan sains dan kesihatan kepada masyarakat di peringkat antarabangsa.

Sumber Laporan & Foto: Dr. Marahaini Musa dan Dr. Nazihah Mohd Yunus
- Created on .
- Hits: 413