Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

RANCANG SIMPANAN HARI TUA, INISIATIF KOLABORASI USM - KWSP UNTUK WARGA KAMPUS KESIHATAN

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 11 April 2025 - Warga Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) termasuk staf yang telah memilih skim pencen disaran memanfaatkan kemudahan pelaburan serta simpanan yang disediakan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Demikian antara intipati perbincangan Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail bersama delegasi KWSP yang mengadakan kunjungan hormat ke pejabat beliau semalam.

1000127631

Delegasi KWSP yang diketuai Ketua Cawangan Kota Bharu, Tengku Ismariza Tuan Ismail telah memberikan penerangan beberapa skim, khususnya simpanan secara sukarela sebagai bekalan tambahan menempuh persaraan kepada staf yang telah memilih skim pencen.

Berdasarkan situasi ekonomi semasa serta jangkaan masa hadapan yang tidak menentu, rakyat terutamanya penjawat awam perlu bersedia daripada segi kewangan bagi menampung sara hidup serta perbelanjaan kesihatan menjelang usia emas. Justeru, KWSP menyediakan beberapa pelan yang kompetitif daripada segi pulangan berbanding pesaing konvensional, lebih-lebih lagi skim yang patuh syariah.

1000127630

Mengakhiri perbincangan, pihak pengurusan Kampus Kesihatan bersedia membuka ruang kepada pihak KWSP untuk mengadakan siri penerangan bagi memberi kesedaran kepada warga kampus termasuk mahasiswa supaya lebih bijak dalam pengurusan kewangan serta celik pelaburan dan simpanan untuk hari tua.

Turut hadir ialah Timbalan Bendahari Kampus Kesihatan USM, Zamasari @ Zamahshari Abd. Ghani serta pegawai-pegawai kanan USM dan KWSP.

Teks & Foto: Amyrulhan Azhari

  • Created on .
  • Hits: 107