RAYA SERUMPUN - HIMPUNKAN WARGA KAMPUS RAI AIDILFITRI BERSAMA PENGERUSI LGU DAN PENGURUSAN TERTINGGI USM
USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 20 April 2025 – Sambutan Hari Raya Aidilfitri sering menjadi platform mengeratkan ikatan perpaduan antara kaum. Majlis rumah terbuka dan jamuan hari raya diadakan di pelbagai tempat untuk meraikan sanak saudara dan sahabat handai sekaligus mencerminkan keunikan negara yang mempunyai pelbagai kaum, bangsa, agama dan budaya.
Bertemakan ‘Raya Serumpun’, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) tidak ketinggalan mengadakan Majlis Gala Aidilfitri Peringkat Kampus Kesihatan 2025/ 1446 Hijrah bagi memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan warga kampus di samping menonjolkan keindahan budaya serantau yang dikongsi bersama dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Dalam majlis ini, Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti (LGU), USM, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dan barisan pengurusan tertinggi universiti serta ketua-ketua jabatan Kampus Kesihatan mengambil peluang menyantuni warga USM dalam suasana penuh kekeluargaan.
Meneruskan tradisi sambutan Aidilfitri di USM, sambutan kali ini disertai oleh sebahagian besar pusat tanggungjawab (PTJ) Kampus Kesihatan yang menghidangkan pelbagai juadah hari raya di reruai masing-masing.
Sinonim dengan sambutan hari raya, reruai dihias cantik dengan konsep ‘Tradisional Negeri/ Negara’ dan majlis turut diisi dengan pelbagai persembahan khususnya lagu-lagu hari raya.
Kira-kira 2,000 pengunjung terdiri daripada staf, pelajar, wakil agensi luar dan para penaja memeriahkan majlis ini yang bermula pada pukul 11.00 pagi hingga 2.00 petang.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 234