RMHC MALAYSIA DAN HARIAN METRO SANTUNI PESAKIT KANAK-KANAK HPUSM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 8 April 2026 - Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) serta Titipan Kasih Harian Metro mengambil peluang menyantuni pesakit kanak-kanak Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) di samping mengagihkan sumbangan duit raya dan ‘happy meals’, hari ini.


Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengurus Besar RMHC Malaysia, Mohd Nasri Mohd Nordin dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit kepada pesakit kanak-kanak yang ditempatkan di wad 2 Selatan dan 6 Selatan.


Sumbangan tersebut diharap dapat menceriakan pesakit kanak-kanak yang sedang menjalani rawatan, sekali gus memberikan semangat dan kegembiraan kepada mereka dalam menghadapi cabaran sepanjang tempoh pemulihan.




Terdahulu, RMHC Malaysia dan Titipan Kasih Harian Metro menganjurkan Program Santuni Syawal di Rumah Ronald McDonald (RRM) HPUSM. Program ini memberikan satu dimensi tambahan yang amat bermakna kepada pesakit kanak-kanak HPUSM kerana walaupun berada dalam suasana hospital, pesakit dan keluarga masih dapat merasai kemeriahan sambutan Syawal, berkongsi senyuman serta menikmati suasana kebersamaan.


HPUSM amat menghargai komitmen berterusan RMHC Malaysia serta sokongan rakan media melalui inisiatif Titipan Kasih Harian Metro dalam usaha menyantuni dan memberikan sokongan moral kepada pesakit pediatrik serta keluarga mereka sepanjang tempoh menerima rawatan di hospital ini.

Turut hadir menyantuni pesakit ialah Timbalan Pengarah Operasi mewakili Pengarah HPUSM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof dan Pengerusi Jawatankuasa RRM HPUSM, Profesor Datin Dr. Nik Hazlina Nik Hussain.
Teks: Faridatul Aswani Ahmad Zidan / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 156