Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

RUMAH KELAB KJB LAMBANG PENGHARGAAN USM TERHADAP PESARA

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 Ogos 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus menghargai jasa dan pengorbanan warga kerjanya dengan menyediakan sebuah rumah kelab untuk kegunaan Kelab Jasa Budi (KJB) sebagai pusat aktiviti pesara, sekali gus memperkukuh kebajikan dan penglibatan mereka bersama universiti.

Majlis penyerahan kunci rumah kelab tersebut disempurnakan oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Shaiful Bahari Ismail, kepada Penasihat Kehormat KJB, Mohamad Abdul Rahman dalam satu majlis ringkas, hari ini.



Turut menyaksikan majlis berkenaan ialah Yang Dipertua KJB, Dato' Azman Abdullah serta Timbalan Yang Dipertua merangkap Pengerusi KJB, Haji Wan Mohd. Suyuti Wan Ismail.

Rumah kelab itu bakal menjadi pusat pertemuan utama ahli KJB bagi menjalankan pelbagai aktiviti, mesyuarat dan program kemasyarakatan dalam suasana yang lebih selesa, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pesara USM.

Sebagai simbolik penyerahan rumah kelab tersebut, majlis turut diserikan dengan acara penanaman pokok yang melambangkan pertumbuhan, kelestarian dan kesinambungan hubungan erat antara pesara dengan universiti.

Untuk rekod, KJB kini mempunyai kira-kira 900 ahli berdaftar yang terdiri daripada pesara USM, melibatkan ahli dari Kampus Induk di Pulau Pinang, Hospital Pakar USM (HPUSM) serta Kampus Kesihatan USM di Kubang Kerian.

 

Ditubuhkan pada tahun 2003, KJB menjadi wadah yang menghimpunkan pesara USM untuk terus menyumbang idea, pengalaman dan kepakaran kepada universiti di samping memupuk semangat kekitaan serta mengekalkan hubungan yang berterusan antara pesara dan USM.

Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 246