SAINS4U: PEMINDAHAN ILMU DARIPADA MAHASISWA KEPADA KOMUNITI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 Mac 2025 – Bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kesihatan melalui pendekatan interaktif dan pemindahan ilmu daripada mahasiswa kepada komuniti, Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi sekretariat Kursus Sains Kesukarelawanan telah menganjurkan program SAINS4U: Komuniti Kita di Madrasah Pak Do, Kampung Bawah Lembah, Rantau Panjang pada 22 Februari lalu.
Program ini juga bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat berkaitan kepentingan kesihatan mental dalam kehidupan harian terutamanya selepas banjir selain mendidik komuniti menyediakan makanan berkhasiat.
Pelbagai aktiviti diisi sepanjang program ini seperti ceramah bertajuk ’Kesihatan Mental Pasca Banjir: Cabaran dan Solusi’, aktiviti interaktif dalam bentuk permainan pendidikan, kuiz kesihatan, melabel piramid makanan dan bahagian tubuh manusia serta teka silang kata bertemakan kesihatan.
Selain itu, program ini turut menekankan kepedulian sosial melalui sumbangan bantuan persekolahan kepada kanak-kanak keluarga asnaf. Dengan pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat, program ini berjaya menarik penyertaan masyarakat setempat termasuk golongan dewasa serta kanak-kanak.
Program SAINS4U bukan sahaja berfungsi sebagai platform perkongsian ilmu, tetapi juga berjaya memperkukuhkan hubungan antara mahasiswa USM dan masyarakat setempat. Program seperti ini diharap dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang agar manfaatnya dapat dinikmati lebih ramai penduduk, ke arah kehidupan yang lebih berkualiti dan berpengetahuan.
Sumber Laporan & Foto: Wong Yun Ying
- Created on .
- Hits: 139