'SCIENCE FOR SCHOOL’ DORONG MINAT PELAJAR DALAM BIDANG SAINS KESIHATAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 16 Ogos 2023 – Program Bioperubatan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPN Kelantan) telah menganjurkan program ‘Science for School’ buat kali keenam bertemakan ‘Inspiring Future Health Scientists’ di Bilik Persidangan PPSK.

Program yang melibatkan pelajar tingkatan empat (4) termasuk Guru Sains dari Sekolah Menengah terpilih di sekitar daerah Kota Bharu, Bachok, Pasir Mas, Tumpat, Pasir Puteh dan Machang ini bertujuan meningkatkan pengetahuan, membuka perspektif serta membangunkan minat pelajar terhadap bidang Sains Kesihatan.

Para pelajar juga berpeluang meneroka sendiri bidang Bioperubatan, Forensik dan Pemakanan melalui lima (5) modul aktiviti saintifik yang interaktif seperti ‘My Body-Inside Out’, ‘The Amazing Microscopic World’, ‘The Superhero in Our Food’, My Touch ID’ dan ‘Help, I’m Breathless’ ekoran program ini berlangsung secara fizikal setelah dijalankan secara maya pada tahun lalu akibat pandemik COVID-19.

Pendedahan saintifik secara ‘hands-on’ amat bermanfaat kepada pelajar untuk merasai sendiri pengalaman menjalankan eksperimen Sains yang baharu dan belum pernah mereka lalui di peringkat sekolah bagi menyemarakkan minat terhadap subjek Sains yang lazimnya dianggap susah dan membosankan.

Program tersebut dirasmikan oleh Dekan PPSK, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak. Turut hadir ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Profesor Madya Dr. Ahmad Fahmi Lim Abdullah; Timbalan Dekan (Siswazah, Kerjaya dan Antarabangsa), Profesor Madya Dr. Rapeah Suppian; Pengarah Program ‘Science for School’ 2023, Profesor Madya Dr. Nurul Asma Abdullah serta pegawai-pegawai JPN Kelantan.
- Created on .
- Hits: 345