SEMINAR POCT HPUSM TINGKATKAN KUALITI DIAGNOSTIK DEMI KESELAMATAN PESAKIT
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 Ogos 2026 – Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) terus komited memperkukuh keselamatan pesakit menerusi penganjuran Seminar Point-of-Care Testing (POCT) HPUSM 2026 yang memberi penekanan kepada amalan diagnostik berkualiti, kawalan kualiti serta jaminan kualiti dalam pelaksanaan ujian di tempat penjagaan pesakit, pada 3 Ogos lalu.

Seminar bertemakan ‘Memperkukuh Amalan Klinikal dan Jaminan Kualiti’ ini telah berlangsung di Dewan Kuliah 8 dan dirasmikan oleh Timbalan Pengarah (Operasi) HPUSM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof mewakili Pengarah HPUSM.

Seminar tersebut menghimpunkan 40 peserta yang terdiri daripada Pakar Patologi, Pegawai Sains, Juruteknologi Makmal Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan dan Jururawat bagi meningkatkan kefahaman mengenai prinsip serta aplikasi klinikal POCT, di samping membincangkan cabaran pelaksanaan dan amalan terbaik dalam memastikan keputusan ujian yang tepat, cepat serta boleh dipercayai.

Seminar itu turut menampilkan perkongsian ilmu daripada pakar HPUSM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merangkumi aspek pengurusan proses pra-analitikal, analitikal dan pasca-analitikal, kepentingan kawalan kualiti serta pengalaman pelaksanaan POCT di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).


Penganjuran seminar ini diharap dapat meningkatkan kompetensi warga kesihatan dalam pelaksanaan POCT, sekali gus memperkukuh penyampaian perkhidmatan diagnostik yang lebih cekap, berkualiti dan selamat demi kesejahteraan pesakit.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Noorazliyana Shafii
- Created on .
- Hits: 119