SESI TAKLIMAT KRITERIA KENAIKAN PANGKAT STAF AKADEMIK CERMINAN KEBERSAMAAN MENCORAK UNIVERSITI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 11 September 2024 - Bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat. Peribahasa klasik, namun makna di sebaliknya kekal sepanjang zaman.
Begitulah senario sepanjang sesi Taklimat Kriteria Baharu Kenaikan Pangkat Staf Akademik yang berlangsung hari ini di Dewan Kuliah C, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM).
Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed serta barisan panel yang terdiri daripada Ahli Lembaga Universiti USM, Profesor Emeritus Dato' Dr. Hassan Said; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USM, Profesor Dato' Gs. Dr. Narimah Samat;
Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan merangkap Ahli Jawatankuasa Pemilih Profesor USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail; Dekan Institut Pengajian Siswazah merangkap Ahli Jawatankuasa Pemilih Akademik USM, Profesor Dr. Azlan Abdul Aziz; Ahli Jawatankuasa Pemilih Akademik USM, Profesor Dr. Liza Sharmini Ahmad Tajudin dan Penyelaras Jawatankuasa Kerja Laluan Kerjaya Akademik USM, Profesor Sr. Dr. Mastura Jaafar@Mustapha hadir secara bersemuka untuk berkongsi kriteria baharu kenaikan pangkat staf akademik yang akan mula digunakan bagi eksesais akan datang.
Hampir 300 staf akademik seluruh Kampus Kesihatan yang menyertai taklimat bukan sahaja dipersembahkan dengan taklimat komprehensif dari Penyelaras Jawatankuasa Kerja, tetapi juga berpeluang berinteraksi secara langsung dengan Naib Canselor serta pengurusan tertinggi universiti dan wakil jawatankuasa pemilih.
Pelbagai isu serta syor berkaitan proses dan kriteria-kriteria kenaikan pangkat daripada pensyarah yang diutarakan sepanjang majlis mendapat perhatian dan yang mana bersesuaian akan diperhalusi kembali oleh panel serta pihak pengurusan.
Sentimen serta strategi berbentuk musyawarah yang diperlihatkan sepanjang majlis berlangsung seakan-akan refleksi bahawa menara ilmu tercinta ini adalah milik bersama dan dicorakkan bersama-sama oleh seluruh warga daripada segenap lapisan.
Turut hadir dalam sesi taklimat ini ialah Pendaftar USM, Mohd Azizudin Mohd Shariff; Pengarah Hospital USM, Dekan-dekan Pusat Pengajian Kampus Kesihatan dan Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul.
Teks: Amyrulhan Azhari/ Foto: Unit Fotografi UKAST
- Created on .
- Hits: 263