SETIAP KEJAYAAN BERMULA DENGAN LANGKAH PERTAMA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 7 Oktober 2023 - Dianggarkan kira-kira 640 pelajar baharu Ijazah Pertama, Universiti Sains Malaysia (USM) bagi Sidang Akademik 2023/2024 melapor diri di Kampus Kesihatan, Kubang Kerian, hari ini.

Siswa-siswi program Doktor Perubatan, Doktor Pergigian serta program-program Sains Kesihatan ini hadir daripada segenap pelusuk tanah air bertemankan ibu bapa serta ahli keluarga untuk memulakan episod baharu sebagai pelajar universiti.

Pendaftaran bermula jam 8.30 pagi dan setakat jam 3.00 petang seramai 532 orang pelajar telah mendaftar termasuk 13 orang pelajar antarabangsa. Para pelajar baharu ini diberi penginapan di Desasiwa Murni dan Nurani.

Sesi pendaftaran berjalan lancar dengan dibantu kira-kira 50 orang Pembimbing Program Siswa Lestari (PPSL) dan staf USM.


Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin turut turun padang meninjau proses pendaftaran di samping menyantuni ahli keluarga pelajar.


Keadaan cuaca yang baik serta kesiapsiagaan pihak pengurusan pelajar baharu dari Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) dan Jabatan Keselamatan turut melancarkan proses pendaftaran hari ini.


Sama-sama kita doakan segalanya dipermudahkan buat semua siswa siswi baharu Kampus Kesihatan USM. Semoga mereka bakal bergelar graduan hebat yang bakal merubah nasib keluarga serta menyumbang kepada agama, bangsa dan negara satu hari nanti.

- Created on .
- Hits: 351