Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

SMART KIDS @ KUALA BETIS CETUS ASPIRASI, SEMAI AMALAN HIDUP SIHAT MURID ORANG ASLI

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 24 September 2026 – Program Smart Kids @ Kuala Betis 2026 anjuran Jabatan Farmakologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) memberi tumpuan kepada pendidikan kesihatan, pembentukan amalan hidup sihat serta pembangunan aspirasi dalam kalangan murid Orang Asli suku Temiar di Kuala Betis, Gua Musang.

Program yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Kuala Betis pada 21 September lalu ini merupakan inisiatif pemindahan ilmu dan khidmat komuniti itu dilaksanakan menerusi tiga (3) modul utama iaitu ‘Healthy Kids’, Kesedaran Bahaya ‘Vape’ serta ‘Dream Big Futures’ yang menggabungkan pendidikan kesihatan dengan pendedahan kepada aspirasi dan kerjaya.

Menerusi modul ‘Healthy Kids’, murid didedahkan kepada amalan penjagaan kesihatan dan kebersihan diri melalui demonstrasi oleh Unit Kesihatan Sekolah, Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang (PKDGM), selain pendidikan kesihatan reproduktif yang disampaikan oleh Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Gua Musang, Dr. Liyana Khairunnisa.

Sesi kesedaran bahaya ‘vape’ pula disampaikan oleh Pakar Perubatan Keluarga dan Pensyarah Perubatan, Jabatan Farmakologi, PPSP USM, Dr. Aida Maziha Zainudin yang memberi pendedahan awal kepada murid mengenai risiko penggunaan ‘vape’ serta kepentingan membuat pilihan yang sihat.

Sementara itu, modul ‘Dream Big Futures’ menampilkan perkongsian aspirasi oleh pelajar Program Doktor Perubatan Tahun 5 USM daripada suku Temiar yang disampaikan dalam bahasa Temiar dan bahasa Melayu, selain perkongsian kerjaya daripada wakil Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan, Klinik Kesihatan Kuala Betis, PKDGM serta Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah Gua Musang.

Program ini diharap dapat meningkatkan kesedaran kesihatan, amalan kebersihan diri, pengetahuan mengenai bahaya dadah dan ‘vape’ serta motivasi dan aspirasi kerjaya dalam kalangan murid Orang Asli suku Temiar melalui pendidikan berstruktur dan aktiviti interaktif.

Usaha tersebut turut mencerminkan komitmen USM dalam memperluas pemindahan ilmu dan khidmat komuniti, khususnya dalam membantu membentuk generasi muda yang lebih sihat, berpengetahuan, yakin dan mempunyai aspirasi untuk masa hadapan.

Sumber Laporan & Foto: Dr. Rohaida Che Mohd Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 183