Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

SPICES PERLUAS PENDIDIKAN KANSER KEPADA KOMUNITI DEWASA DAN WARGA EMAS

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 8 Oktober 2026 – Galeri Interaktif Sains Perubatan (SPICES), Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) memperluas pendekatan pendidikan kesihatan kepada komuniti dewasa dan warga emas menerusi program SPICES Prihatin: Kenali Kanser, Kesan Awal, Cegah Bersama pada 6 Oktober lalu.

Program yang melibatkan komuniti B40 Daerah Tumpat itu merupakan program libatsama komuniti pertama SPICES yang memberi tumpuan kepada golongan dewasa dan warga emas, selepas sebelum ini lebih berfokus kepada pelajar sekolah.

Program yang berlangsung di SPICES, Kampus Kesihatan USM itu menggabungkan pendekatan pembelajaran interaktif dengan kepakaran dalam bidang Patologi dan Pembedahan Am, Hospital Pakar USM (HPUSM) menerusi Program Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Prihatin MADANI HPUSM, sebagai kesinambungan kepada pelaksanaan Fasa 1 di Tumpat pada 19 September lalu.

Selain itu, program ini juga bertujuan meningkatkan pengetahuan komuniti mengenai faktor risiko dan pencegahan kanser, tanda serta gejala awal, kepentingan saringan, proses diagnosis dan rawatan melalui pendekatan pembelajaran yang mudah difahami dan interaktif.

Peserta turut berpeluang berinteraksi secara langsung dengan profesional kesihatan menerusi ceramah, sesi soal jawab dan kuiz, selain mendapatkan penerangan menggunakan model, spesimen patologi dan bahan visual.

Penglibatan aktif peserta turut memperlihatkan kesedaran mereka terhadap kepentingan mengenali tanda amaran kanser apabila pelbagai persoalan berkaitan ketumbuhan, pendarahan tidak normal, perubahan tabiat membuang air besar serta kanser payudara, paru-paru dan rahim dikemukakan sepanjang program.

Dalam satu sesi susulan, seorang peserta turut mendapatkan pandangan profesional kesihatan selepas mengenal pasti persamaan antara gejala yang dialaminya dengan tanda amaran yang diterangkan, sebelum surat rujukan dikeluarkan bagi membolehkan pemeriksaan dan penilaian lanjut dilakukan.

Pengalaman tersebut menunjukkan bagaimana pendidikan kesihatan yang mudah difahami dapat membantu masyarakat mengenali perubahan pada tubuh serta mengambil tindakan mendapatkan penilaian perubatan yang bersesuaian.

Pelaksanaan SPICES Prihatin sekali gus memperluas peranan SPICES sebagai wahana pemindahan ilmu dan pendidikan kesihatan kepada masyarakat merentas usia, selaras dengan komitmen USM dalam memperkukuh libatsama universiti bersama komuniti.

Sumber Laporan & Foto: Profesor Madya Dr. Sharifah Emilia Tuan Sharif

  • Created on .
  • Hits: 115