Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

STAF JABATAN KESELAMATAN TERIMA EX-GRATIA BENCANA KERJA DARIPADA NAIB CANSELOR

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 8 September 2022 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, hari ini menyampaikan pampasan Ex-Gratia Bencana Kerja berjumlah RM8,594.24 kepada staf Jabatan Keselamatan, Kampus Kesihatan USM, Muhamad Nirierwan Che Mat.

4a94dba2 6417 4c1c a882 92d6e8b63b9d

Nirierwan menerima faedah pampasan menerusi Skim Ex-Gratia Bencana Kerja Bagi Anggota Perkhidmatan Awam selepas terlibat kemalangan jalan raya semasa dalam perjalanan ke tempat bertugas kira-kira lima (5) tahun lalu yang mengakibatkan beliau hilang upaya kekal sebanyak dua (2) peratus (%).

Skim Ex-Gratia Bencana Kerja adalah skim yang memberi pampasan kepada anggota perkhidmatan awam yang ditimpa bencana kerja semasa menjalankan tugas rasmi sehingga menyebabkan hilang upaya kekal atau kematian.

9b69c8f1 4e0b 4faf 9950 21debd4c44e3

Skim tersebut diwujudkan bertujuan menjaga kebajikan anggota perkhidmatan awam dan tanggungan sekiranya terjadi sesuatu bencana semasa pegawai sedang menjalankan tugas rasmi memandangkan anggota perkhidmatan awam dikecualikan daripada mencarum skim di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja, 1969.

Perlindungan di bawah skim tersebut termasuk perjalanan semasa pergi dan balik bertugas daripada rumah ke tempat bertugas seperti yang dialami oleh Nirierwan.

b2f6abe7 bb47 4060 afb5 17fbbcee2b6d

Selain Nirierwan, dua (2) orang lagi staf USM turut menerima faedah daripada skim yang sama pada tahun ini iaitu seorang staf di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) dan seorang staf Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Aset (JPPA), Kampus Induk, yang mana mereka juga terlibat dalam kemalangan jalan raya dan salah seorang daripadanya meninggal dunia. Faedah pampasan diterima oleh staf yang terlibat dan waris arwah mengikut prosedur yang ditetapkan.

Skim tersebut berkuat kuasa mulai 20 Oktober 1994 melalui Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 13 Tahun 1994 dan penambahbaikan melalui Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 7 Tahun 2001 yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2001.

Diharap pampasan ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban yang dialami Nirierwan dan keluarga.

bdcff248 9915 4961 90e9 2fba866d8a3f

Warga USM boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan skim ini daripada Jabatan Pendaftar di semua kampus menerusi Ketua Jabatan masing-masing.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Timbalan Pendaftar Kanan, Jabatan Pendaftar Kampus Kesihatan USM, Noor Hayati Mohammad dan Timbalan Pengarah Keselamatan, Jabatan Keselamatan Kampus Kesihatan, Eady Othman.

  • Created on .
  • Hits: 279