STAF PERLU BERSEDIA MENDEPANI CABARAN BAHARU DI TEMPAT KERJA
USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 23 Oktober 2024 - Dalam usaha mendidik staf bagi menjaga keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, satu Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) bertemakan 'Cabaran Baharu Di Tempat Kerja' telah diadakan di Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) pada 13 Oktober lalu.
Seminar anjuran Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (UKKP) Kampus Kesihatan USM diadakan bertujuan memberi kefahaman mengenai perundangan strategi KKP negara yang terkini.
Seramai 58 peserta dengan pelbagai latar belakang pekerjaan termasuk staf USM dan agensi-agensi luar seperti kontraktor yang terlibat dengan pembinaan dan ubah suai bangunan menyertai seminar ini.
Pelbagai topik dibincangkan dalam ceramah yang disampaikan oleh beberapa penceramah jemputan daripada agensi kerajaan lain seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kelantan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).
Antara perkara yang diketengahkan adalah majikan, pihak pengurusan serta pekerja harus bersedia dan peka dengan perubahan akta atau peraturan baharu untuk dilaksanakan dalam sektor pekerjaan atau industri yang terlibat.
Pekerja juga perlu berganding bahu untuk memastikan pelaksanaan dan pematuhan peraturan di tempat kerja selari dengan perubahan akta baharu tersebut.
Seminar ini turut mendedahkan peserta kepada strategi bagi mewujudkan persekitaran yang menyokong kesejahteraan pekerja dan meningkatkan kesedaran berhubung kepentingan pengurusan KKP yang mampan.
Selain itu, penganjuran seminar ini diharap dapat meningkatkan pengetahuan staf bagi menghadapi perubahan perundangan dengan pindaan akta KKP 1994 dan pemansuhan Akta Kilang dan Jentera (akta 139) kepada akta baharu iaitu AKKP (Pindaan) 2022 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (A1648).
Hadir menyampaikan ucapan aluan dalam seminar ini ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail.
Sumber Laporan & Foto: Nur Farihan Sidik Ahmad
- Created on .
- Hits: 189