SYARAHAN UMUM PELANTIKAN PROFESOR MEDIUM SEBAR LUAS KEPAKARAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 1 Disember 2024 - Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) menutup tirai tahun 2024 dengan mengadakan Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor, Pusat Pengajian Sains Perubatan berkaitan kepakaran bidang perubatan kecemasan, farmakologi serta telinga, hidung dan tekak.
Hari ini, seorang profesor dari Jabatan Perubatan Kecemasan iaitu Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin berkongsi ilmu berkenaan ‘Kecemasan Otak: Cabaran, Mitos dan Fakta’, seorang profesor dari Jabatan Farmakologi iaitu Profesor Dr. Aida Hanum Ghulam Rasool mengetengahkan kepakaran beliau menerusi syarahan bertajuk ‘Obesiti – Adakah Ubat? Perlukah Ubat?’ dan seorang profesor dari Jabatan Otorinolaringologi – Surgeri Kepala dan Leher iaitu Profesor Dr. Ramiza Ramza Ramli menyampaikan syarahan bertajuk ‘Hidung Resah Bila hingus Menitis? Memahami Punca, Gejala dan Strategi Rawatan Alahan Rinitis dan Resdung’.
Ketiga-tiga profesor ini merupakan antara nama besar di pusat pengajian dan pemimpin dalam bidang masing-masing yang giat menyumbang bakti untuk memastikan kelangsungan hal ehwal akademik dan penyelidikan di PPSP terus berkembang dengan pesat serta mampan.
Syarahan Umum Pelantikan Profesor adalah satu program akademik rasmi universiti khusus berkaitan pemasyhuran ketokohan seorang ahli akademik yang dilantik sebagai profesor penuh.
Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor kali ini dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USM, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat; Pengarah Hospital Pakar USM, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman; Pengarah, Institut Penyelidikan Perubatan Molekul USM, Profesor Madya Dr. Aziah Ismail dan Dekan PPSP USM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor, Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 208