Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

TERAP ELEMEN PENYELIDIKAN PERGIGIAN SEIRING REVOLUSI TEKNOLOGI KESIHATAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 22 April 2025 - Bidang pergigian merupakan salah satu komponen penting dalam sektor kesihatan negara yang sentiasa berkembang selari dengan kemajuan teknologi dan keperluan masyarakat semasa.

1000130805

1000130807

Dalam menghadapi arus pemodenan yang pesat serta revolusi teknologi kesihatan yang semakin kompleks, bidang ini tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada pendekatan konvensional. Sebaliknya, perkembangan bidang pergigian kini didorong oleh penyelidikan yang berterusan bukan sahaja memperkukuh asas ilmu sedia ada, malah mencorak hala tuju baharu dalam amalan klinikal dan pendidikan.

Sehubungan itu, penerapan elemen penyelidikan dalam kalangan pelajar pergigian perlu dilaksanakan sejak awal pengajian. Pendekatan ini bukan sahaja melahirkan graduan yang celik ilmu dan berfikiran kritis, malah memastikan mereka mampu mengaplikasikan rawatan serta pendekatan klinikal yang terkini, sejajar dengan prinsip ‘Evidence-Based Dentistry’. Graduan yang dilengkapi dengan asas penyelidikan yang kukuh akan lebih bersedia untuk menyumbang secara signifikan dalam memperkasa sistem penjagaan kesihatan pergigian.

1000130809

1000130811

Sejajar dengan hasrat tersebut, Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil langkah menerapkan elemen penyelidikan ini dengan menganjurkan Persidangan Saintifik Pergigian kali ke-22 bagi pelajar prasiswazah, Sarjana Muda Pembedahan Pergigian (Doktor Pergigian) bertemakan ‘Improving Dental Practices via Research’ pada 17 April lalu.

Persidangan yang merupakan acara tahunan itu turut melibatkan penyertaan pelajar pergigian antarabangsa dari Universitas Padjajaran (Indonesia), Universitas Sumatera Utara (Indonesia) dan Jouf Universiti (Arab Saudi). Kehadiran dua panel jemputan bagi sesi ‘plenary talk’ iaitu Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Pergigian), Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Dr. Asmani Abd Razak dan Associate Professor James Dudley dari The University of Adelaide, Australia turut memberi impak positif kepada para pelajar dan pensyarah yang menyertai persidangan ini menerusi perkongsian penyelidikan terkini, statistik status kesihatan pergigian terkini serta cabaran dan peluang penyelidikan berasaskan kecerdasan buatan.

1000130813

1000130801

Selain itu, persidangan ini turut menjadi platform mengasah bakat para pelajar melalui pertandingan pembentangan lisan terbaik dan e-poster terbaik.

1000130803

1000130799

Perasmian persidangan ini telah disempurnakan oleh Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), USM, Profesor Madya Dr. Aziah Ismail yang mewakili Pengarah Kampus Kesihatan. Turut hadir ialah Dekan PPSG USM, Profesor Dr. Norhayati Luddin dan Pengarah Program Persidangan Saintifik Pergigian kali ke-22, Dr. Nurulezah Hasbullah.

Sumber Laporan & Foto: Dr. Afaf Syahira Ahmad Satmi dan Dr. Nurulaqmar Iwani Samsudin

  • Created on .
  • Hits: 66