USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 29 Ogos 2022 - Bagi menyedia serta menggalakkan persekitaran kerja dan tempat belajar yang aman, selamat dan sejahtera kepada warga Universiti Sains Malaysia (USM), Hospital USM mengambil inisiatif menganjurkan ‘town hall’ cara mencegah dan menangani kekerasan terhadap staf dan pelajar USM.

Program yang dirasmikan oleh Pengarah Hospital USM, Profesor Dato’ Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman itu antara lain bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kompetensi staf serta pelajar dalam menangani dan mencegah kekerasan dalam kawasan kampus USM.

Pengurusan USM juga tidak akan bertoleransi dengan sebarang kelakuan kekerasan atau gangguan terhadap staf dan pelajar kerana perbuatan ini sedikit sebanyak akan mengurangkan produktiviti staf dalam menjalankan tugas secara profesional serta mengganggu fokus pelajar dalam proses pembelajaran mereka.


Selain itu, pengurusan USM juga bersedia menerima sebarang maklum balas dan cadangan agar usaha ini dapat dibendung daripada terus menular.
Antara topik yang dikongsikan adalah ‘Mengenali Jenis-Jenis Kekerasan dan Faktor Terjadinya Kekerasan’ oleh Timbalan Pengarah Operasi, Hospital USM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof, ‘Prosedur Operasi Standard Insiden Kekerasan’ oleh Timbalan Pengarah Keselamatan USM, Eady Othman, ‘Akta-Akta yang Berkaitan dengan Kekerasan dan Tindakan yang Boleh Diambil’ oleh Penolong Penasihat Undang-Undang USM, Wan Amier Firdaus Wan Mohd Azaman @ Mohd Azman dan ‘Strategi Mengurus Emosi’ oleh Pegawai Psikologi Hospital USM, Ruzzairien Ramli.