Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

USM, CHULALONGKORN UNIVERSITY TEROKA KERJASAMA PENDIDIKAN DAN PENYELIDIKAN PERGIGIAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 18 Ogos 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) meneroka peluang kerjasama strategik dalam bidang pendidikan pergigian, penyelidikan, inovasi serta mobiliti akademik dan pelajar bersama Faculty of Dentistry, Chulalongkorn University, Thailand.

Inisiatif tersebut dibincangkan menerusi lawatan rasmi delegasi Faculty of Dentistry, Chulalongkorn University ke PPSG USM pada 11 hingga 12 Ogos lalu yang diketuai oleh Dekan Fakulti Pergigian, Profesor Pornchai Jansisyanont, bersama Profesor Thanaphum Osathanon, Profesor Thantrira Porntaveetus dan Profesor Madya Supreda Srithanyarat.

Lawatan tersebut menjadi platform untuk kedua-dua institusi berkongsi kepakaran, kemudahan serta kekuatan akademik dan penyelidikan, di samping mengenal pasti bidang kerjasama yang berpotensi dilaksanakan secara bersama.

Selain itu, delegasi turut diberi taklimat pengenalan institusi di samping berkongsi profil, struktur, kekuatan akademik, kepakaran penyelidikan dan bidang tumpuan masing-masing sebelum diteruskan dengan perbincangan bersama pengurusan tertinggi PPSG yang diketuai oleh Dekan PPSG, Profesor Dr. Norhayati Luddin.

Perbincangan berkenaan memberi tumpuan kepada penerokaan peluang penyelidikan bersama, pertukaran akademik dan mobiliti pelajar serta perancangan pemeteraian ‘Memorandum of Understanding’ (MoU) antara kedua-dua institusi.

Delegasi turut dibawa melawat kemudahan klinikal, makmal penyelidikan dan Makmal Teknologi Pergigian PPSG bagi melihat kemudahan, infrastruktur dan teknologi yang menyokong aktiviti pendidikan klinikal serta penyelidikan pergigian.

Lawatan tersebut turut membuka ruang kepada perkongsian kepakaran dan amalan terbaik dalam bidang pendidikan serta penyelidikan pergigian, selain mengenal pasti potensi kolaborasi yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua institusi.

Secara keseluruhannya, lawatan ini menjadi platform untuk memperluas jaringan akademik dan penyelidikan antara PPSG USM dengan Faculty of Dentistry, Chulalongkorn University, selain membuka peluang kepada pelaksanaan kerjasama yang lebih tersusun dan berimpak dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan inovasi pergigian.

Sumber Laporan & Foto: Dr. Norhayati Yusop dan Wan Nor Aziemah Wan Zainulddin

  • Created on .
  • Hits: 77