Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

USM, UMS JALIN KERJASAMA PENYELIDIKAN BANGUNKAN TEKNOLOGI ‘ELMAR AID’

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 Ogos 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh jaringan penyelidikan dan inovasi apabila Pensyarah Kanan Perubatan, Unit Perubatan Pemulihan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Dr. Al Hafiz Ibrahim dijemput sebagai penyelidik bersama bagi permohonan ‘Technology Development Fund 1’ (TED 1) di bawah inisiatif ‘National Technology and Innovation Sandbox’ (NTIS) bagi menyokong pembangunan dan pengesahan klinikal ‘Early Lower Mobility Amputation Rehabilitation Aid’ (ELMAR Aid) yang dibangunkan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Kerjasama ini turut bertujuan memberi pendedahan kepada Pegawai Perubatan, Jurupulih Perubatan dan Juruteknik Perubatan mengenai penggunaan ELMAR Aid, di samping melaksanakan penyelidikan klinikal di USM yang merangkumi permohonan kelulusan etika penyelidikan, penilaian klinikal terhadap penggunaan peranti, pengumpulan dan analisis data serta penghasilan penerbitan ilmiah secara bersama.

Simbolik penyerahan peralatan ELMAR Aid telah disempurnakan oleh Pengarah Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan UMS merangkap Ketua Projek ELMAR Aid, Profesor Madya Dr. Fatimah Ahmedy kepada Dekan PPSP USM, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin pada 27 Julai lalu.

Dalam ucapannya, Kamarul Aryffin merakamkan penghargaan kepada pasukan penyelidik UMS kerana memilih USM sebagai rakan penyelidik bersama bagi permohonan dana TED 1 di bawah inisiatif NTIS, di samping menghargai kesediaan mereka berkongsi ilmu, pengalaman dan kepakaran dalam pembangunan teknologi rehabilitasi.

Kerjasama ini mencerminkan komitmen USM dalam memperluaskan jaringan penyelidikan strategik bersama institusi pengajian tinggi tempatan, sekali gus menyokong pembangunan inovasi teknologi kesihatan yang berpotensi meningkatkan kualiti rehabilitasi pesakit amputasi serta memberi impak kepada sistem penjagaan kesihatan negara.

Sumber Laporan & Foto: Roziyantee Khairruddin

  • Created on .
  • Hits: 81