Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

USM, UNMAS DENPASAR PERLUAS KERJASAMA AKADEMIK DAN PENYELIDIKAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 11 Ogos 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperluas jaringan kerjasama antarabangsa dengan mengadakan lawatan akademik ke Fakultas Kedokteran Universitas Mahasaraswati (UNMAS) Denpasar, Indonesia, bagi meneroka pelbagai peluang kerjasama melalui pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua institusi pada 6 Ogos lalu.

Delegasi USM yang diketuai Ketua Jabatan, Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Profesor Madya Dr. Wan Mohd Zahiruddin Wan Mohammad turut disertai pensyarah serta pelajar pascasiswazah daripada PPSP, Pusat Pengajian Sains Pergigian serta Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi USM.

Delegasi USM telah disambut oleh Rektor UNMAS Denpasar, Profesor Dr. I Ketut Sukewati Lanang Putra Perbawa bersama Kepala UPT Kerjasama UNMAS Denpasar, Profesor Agung Ni Made Verayanti Utami dan Dekan Fakultas Kedokteran UNMAS Denpasar, Profesor Dr. dr. Ketut Suastika serta barisan pengurusan universiti dan fakulti.

Lawatan tersebut turut melibatkan sesi perbincangan berkaitan peluang kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan, penerbitan, mobiliti pelajar dan staf serta penganjuran program ilmiah secara bersama.

Kedua-dua institusi turut bertukar pandangan mengenai inisiatif yang berpotensi dilaksanakan di bawah kerangka MoU, termasuk peluang perkongsian kepakaran dan pembangunan aktiviti akademik serta penyelidikan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Selain sesi penandatanganan MoU, lawatan ini turut diisi dengan syarahan akademik bertajuk ‘Preventive Ethnomedicine in Malaysian Traditional Practices: A Public Health Perspective’ yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Wan Mohd Zahiruddin Wan Mohammad kepada kira-kira 100 mahasiswa perubatan Tahun 2 UNMAS.

Lawatan tersebut diharap dapat memperluas jaringan antarabangsa USM dan UNMAS Denpasar, di samping membuka lebih banyak peluang perkongsian kepakaran serta pelaksanaan penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang perubatan dan kesihatan masyarakat.

Sumber Laporan & Foto: Dr. Zainab Mat Yudin dan Profesor Madya Dr. Mohd Ismail Ibrahim

  • Created on .
  • Hits: 110