USM –JPJ KELANTAN PERKUKUH PENILAIAN PEMANDUAN OKU
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 12 April 2026 – Sebagai inisiatif memperkukuh kerjasama antara sektor kesihatan dan pihak berkuasa dalam memastikan keselamatan serta kelayakan individu Orang Kurang Upaya (OKU) untuk memandu kenderaan, Unit Perubatan Pemulihan, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) dan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), USM mengadakan satu sesi perbincangan dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Kelantan (JPJNK) pada 7 April lalu.


Perbincangan ini menekankan kepentingan pendekatan multidisiplin dalam menilai keupayaan pemanduan dalam kalangan OKU bagi memastikan setiap individu dinilai secara adil, menyeluruh dan selamat.


Selain itu, perbincangan ini juga menyentuh aspek penambahbaikan sistem sedia ada termasuk penyelarasan prosedur, dokumentasi serta latihan yang diperlukan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kedua-dua belah pihak.

Perbincangan ini merupakan kali kedua diadakan melibatkan Pakar Rehabilitasi HPUSM, Dr. Al Hafiz Ibrahim dan Dr. Wan Mohd Aiman Wan Ab Rahman serta Pegawai Pemulihan Perubatan Cara Kerja, Hasnetty Zuria Mohamed Hatta yang turut memainkan peranan dalam pengesahan penilaian dan pengurusan pesakit berkait keupayaan memandu.

Diharap kerjasama antara HPUSM dan JPJNK berterusan bagi meningkatkan tahap keselamatan jalan raya serta kualiti hidup golongan OKU, khususnya di Negeri Kelantan.
Sumber Laporan & Foto: Hamidah Yusoff
- Created on .
- Hits: 97