USM ANJUR KURSUS ELEKTROFISIOLOGI VISUAL TINGKAT KEFAHAMAN KLINIKAL NEURO-OFTALMOLOGI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 16 Jun 2025 – Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan ‘Introductory Course on Visual Electrophysiology: VEP and ERG’, yang merupakan kursus elektrofisiologi visual pertama seumpamanya yang diadakan di Pantai Timur.
Program selama dua (2) hari yang berlangsung Dewan Platinum 2, Renai Hotel, Kota Bharu dan di Galeri Interaktif Sains Perubatan (SPICES), PPSP, USM pada 14 dan 15 Jun lalu, merangkumi simposium dan bengkel dengan pengisian ilmiah yang memberi penekanan kepada pemahaman asas serta aplikasi klinikal ujian ‘Visual Evoked Potential’ (VEP) dan ‘Electroretinogram’ (ERG).
Program ini bertujuan memberikan pendedahan kepada peserta berkenaan pelaksanaan ujian VEP dan ERG termasuk penggunaan peralatan, teknik pengambilan data serta interpretasi keputusan ujian yang berkaitan dengan gangguan saraf optik, retina dan laluan visual.
Antara penceramah jemputan yang hadir berkongsi ilmu dalam program ini ialah Profesor Madya Dr. Carlos E. Mendoza dari institusi penyelidikan perubatan mata terbaik dunia, Bascom Palmer Eye Institute, University of Miami, Amerika Syarikat dan Pengarah Urusan Roland Consult, Mr. Oskar J. Stasche dari Jerman serta beberapa lagi penceramah yang juga pakar dari institusi perubatan tempatan termasuk USM.
Penganjuran program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta dari aspek klinikal dan akademik, malah membuka peluang kerjasama antara USM dan institusi antarabangsa serta pihak industri teknologi kesihatan.
Selain itu, program ini turut berpotensi memperkukuh jaringan profesional melalui pertemuan dalam talian, kursus pendidikan berterusan (CME) dan kolaborasi penyelidikan masa hadapan.
Program ini juga dilihat mampu memberi manfaat langsung kepada pesakit melalui peningkatan ketepatan diagnosis dan keberkesanan rawatan, khususnya dalam kes berkaitan neuro-oftalmologi dan penyakit retina keturunan.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Shahidatul Adha Mohamad
- Created on .
- Hits: 34