Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

USM ANJUR PROGRAM MOBILITI ANTARABANGSA PERKAYA PENGALAMAN PELAJAR KEJURURAWATAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 4 Ogos 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperluas jaringan pengantarabangsaan apabila menerima kunjungan 15 orang pelajar dari Universitas Diponegoro dan Universitas Senior Medan Sumatera Utara, Indonesia, sempena Program Mobiliti Antarabangsa Berteraskan Amalan dan Penyelidikan Berasaskan Bukti ke Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK).

Program yang berlangsung dari 2 hingga 13 Ogos 2026 itu bertujuan memberikan pendedahan kepada peserta mengenai sistem pendidikan dan amalan kejururawatan di Malaysia serta perkembangan penyelidikan Sains Kejururawatan. Pada masa yang sama, program ini turut memupuk nilai kemanusiaan, tanggungjawab sosial dan kesedaran komuniti melalui aktiviti libat sama masyarakat, selain memperkukuh pertukaran budaya serta jaringan kolaborasi akademik antara USM dan institusi pengajian tinggi di Indonesia.

Delegasi tersebut diiringi oleh dua (2) orang pensyarah, iaitu Dr. Luky Dwiantoro dari Universitas Diponegoro dan Susi Amenta Bera Perangin dari Universitas Senior Medan Sumatera Utara.

Sepanjang program, peserta akan mengikuti pelbagai pengisian akademik, lawatan profesional dan aktiviti kebudayaan yang dijangka dapat meningkatkan kemahiran kepimpinan, komunikasi silang budaya, keyakinan diri dan pemikiran kritis, sekali gus memperkaya pengalaman pembelajaran mereka di peringkat antarabangsa.

Hadir merasmikan program berkenaan ialah Dekan PPSK USM, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak.

Sumber Laporan & Foto: Dr. Salmi Ab Aziz

  • Created on .
  • Hits: 114