USM ANJUR SEMINAR NASIONAL ‘DOUBLE STAINING IHC’ LONJAK KETEPATAN DIAGNOSTIK HISTOPATOLOGI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 23 April 2026 – Dalam usaha memperkukuh kefahaman tentang teori dan kompetensi praktikal dalam penggunaan teknik ‘Double Staining IHC’, khususnya dalam bidang histopatologi, Jabatan Patologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan ‘1st National Double Staining Immunohistochemistry (IHC) Seminar and Hands-on Workshop’ pada 20 dan 21 April yang lalu.


Seminar yang dianjurkan dengan kerjasama rakan industri Bita Lifescience Sdn Bhd ini antara lain bertujuan meningkatkan ketepatan diagnostik serta memberi pemahaman yang lebih mendalam tentang struktur tisu, interaksi selular dan mekanisme penyakit.


‘Double Staining IHC’ ialah satu teknik yang membolehkan pengesanan serentak dua (2) biomarker yang berbeza dalam satu sampel tisu dan membolehkan visualisasi pelbagai sasaran dalam konteks histologi yang sama.Seminar yang diadakan di Galeri Interaktif Sains Perubatan (SPICES) dan Makmal Pelbagai Guna (MPG) 2, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM ini disertai oleh 48 orang peserta dari seluruh Malaysia selain turut menarik penyertaan peserta dari Jakarta, Indonesia.Seminar ini memainkan peranan penting dalam memastikan pemindahan ilmu dapat dilaksanakan secara berterusan, sistematik dan berkualiti.

Penglibatan peserta dan tenaga pengajar yang sangat aktif dalam seminar ini mencerminkan peranan masing-masing dalam memberikan yang terbaik kepada perkhidmatan kesihatan di tempat masing-masing.


Hadir merasmikan seminar ini ialah Dekan PPSP USM, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin. Turut hadir ialah Ketua Jabatan, Jabatan Patologi PPSP USM, Profesor Madya Dr. Faezahtul Arbaeyah Hussain; wakil Syarikat Bita Lifesciences Sdn Bhd, Nur Atiqah Roshidi dan Pengerusi ‘1st National Double Staining Immunohistochemistry (IHC) Seminar and Hands-on Workshop’, Dr. Siti Norasikin Mohd Nafi.Sumber Laporan: Mohd Zaki Zainon/ Foto: Unit Fotografi UKAST
- Created on .
- Hits: 135