USM BANTU TINGKATKAN KUALITI HIDUP PESAKIT MELALUI SUMBANGAN ALAT BANTU PENDENGARAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 15 Mac 2026 – Sempena sambutan Hari Pendengaran Sedunia 2026 yang diraikan setiap 3 Mac, Program Audiologi, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif mengadakan Majlis Penyampaian Alat Bantu Pendengaran kepada pesakit di Dewan Kuliah C, hari ini.


Sambutan Hari Pendengaran pada tahun ini memberi tumpuan kepada dua (2) matlamat utama iaitu mencegah kehilangan pendengaran dalam kalangan kanak-kanak yang boleh dielakkan dan memastikan pengenalpastian awal serta rawatan yang sewajarnya kepada individu yang mengalami masalah telinga dan pendengaran.


Dalam majlis tersebut, sembilan (9) penerima terpilih yang merupakan pesakit yang pernah mendapatkan rawatan melalui Program Audiologi PPSK menerima alat bantuan pendengaran bagi membantu meningkatkan kualiti hidup mereka.

Penyerahan alat bantuan pendengaran ini merupakan fasa pertama dengan jumlah peruntukan sebanyak RM40,380. Penerima bantuan bukan sahaja melibatkan pesakit dari Kelantan, malah turut merangkumi pesakit dari Kuala Lumpur dan Selangor yang dikenal pasti melalui program 'Service Learning Malaysia – University for Society' (SULAM).

Pada majlis yang sama, PPSK turut menerima sumbangan daripada Best Hearing Aid Centre Sdn. Bhd. bagi menjayakan projek SULAM tahun ini yang bertemakan 'Peduli Sebelum Tuli', melibatkan komuniti di sekitar Gua Musang. Projek yang berlangsung dari Januari hingga Mei 2026 itu menerima sumbangan keseluruhan berjumlah RM4,200.

Majlis penyampaian alat bantuan pendengaran tersebut telah disempurnakan oleh Dekan PPSK USM, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak. Turut hadir ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) PPSK, Profesor Madya Dr. Ahmad Fahmi Lim Abdullah; Penasihat Majlis Penyerahan Alat Bantu Pendengaran merangkap Pengerusi Program Audiologi PPSK, Profesor Dr. Normani Zakaria dan Pengarah Program Majlis Penyerahan Alat Bantu Pendengaran, Dr. Aw Cheu Lih.
Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 263