USM BAWA KEPAKARAN KESIHATAN KEPADA KOMUNITI ORANG ASLI DI PEDALAMAN CAMERON HIGHLANDS
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 13 Oktober 2026 – Hampir 200 penduduk, pelajar Orang Asli dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Telanok, Cameron Highlands mendapat manfaat daripada Program KPT Prihatin MADANI: Kempen Kesedaran Kanser yang membawa perkhidmatan pemeriksaan kesihatan serta pendidikan kesihatan secara langsung kepada komuniti pedalaman pada 8 Oktober lalu.


Program anjuran Jabatan Perubatan Nuklear, Radioterapi dan Onkologi (JPNRO), Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) itu dilaksanakan dengan peruntukan dana daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui kerjasama pelbagai agensi kesihatan, pihak sekolah dan rakan strategik.

Antara aktiviti utama ialah pemeriksaan mata dan pemeriksaan kesihatan percuma yang merangkumi analisis komposisi badan, pemeriksaan gula darah dan tekanan darah serta konsultasi kesihatan. Peserta yang dikenal pasti mempunyai masalah kesihatan seperti hipertensi tidak terkawal, gula darah terlalu tinggi, ulser mulut berpanjangan dan gout turut diberikan panduan untuk mendapatkan rawatan lanjut di fasiliti kesihatan berdekatan.

Program ini turut memberi penekanan kepada kesedaran pengesanan awal kanser melalui ceramah mengenai tanda-tanda awal dan faktor risiko kanser serta sesi pendidikan dan latihan praktikal pemeriksaan kendiri payudara bagi peserta wanita.

Selain itu, peserta turut mendapat pendedahan mengenai pencegahan malaria dan leptospirosis, manakala sesi bimbingan khusus untuk ibu bapa murid berkeperluan khas dikendalikan oleh pakar psikiatri kanak-kanak HPUSM. Seramai 140 murid tahap dua SK Telanok turut menyertai aktiviti latihan dalam kumpulan bagi meningkatkan penglibatan dan kesedaran kesihatan dalam kalangan pelajar.

Aspek kebajikan komuniti turut diberi perhatian melalui pengagihan bakul makanan kepada asnaf terpilih, pemberian cermin mata percuma kepada penerima yang layak, sumbangan botol minuman kepada pelajar, cabutan bertuah serta sumbangan tunai kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Telanok.


Program ini diharap dapat meningkatkan literasi kesihatan komuniti pedalaman, mengukuhkan kerjasama antara universiti dengan masyarakat serta melahirkan duta kesihatan MADANI di peringkat akar umbi.
Sumber Laporan & Foto: Mohamad Dzulhilmi Mohamad Kamarulzaman dan Dr. Wan Fatihah Wan Sohaimi
- Created on .
- Hits: 134