Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

USM BAWA PENDEKATAN BIOLOGI PEMULIHAN DEKATI KOMUNITI AADK KOTA BHARU

USM, KOTA BHARU, KELANTAN, 7 Oktober 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) terus memperluas manfaat kepakaran universiti kepada komuniti menerusi pelaksanaan Program Integrasi Bio-Pulih Komuniti @ Kota Bharu 2026/2027 dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kota Bharu pada 5 Oktober lalu.

Program yang membawa konsep “Biologi Pemulihan: Mikro-Kesihatan dan Integriti Tubuh” itu menggabungkan ilmu mikrobiologi dengan amalan penjagaan kesihatan yang mudah, praktikal dan boleh diamalkan dalam kehidupan seharian. Melibatkan 50 klien AADK, program tersebut turut disokong oleh 10 pegawai Unit Pemulihan AADK serta 15 staf dan pelajar pascasiswazah USM yang bertindak sebagai fasilitator.

Program ini dimulakan dengan soal selidik pra-program dan saringan kesihatan asas bagi memberikan gambaran awal status kesihatan peserta serta mengenal pasti keperluan yang memerlukan perhatian lanjut. Peserta kemudiannya mengikuti aktiviti senaman ringan sebelum didedahkan kepada dua (2) sesi perkongsian ilmu bertajuk ‘Musuh Halimunan’ dan ‘Usus Sihat, Otak Cerdas’ yang disampaikan oleh Pensyarah Kanan Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan, PPSP USM, Dr. Tuan Noorkorina Tuan Kub dan Pegawai Sains, Muhammad Nashrul Farhan Samsudin.

Sesi tersebut memberi pendedahan kepada peserta mengenai mikroorganisma, kebersihan dan jangkitan selain kepentingan pemakanan berkhasiat serta kesihatan usus dalam menyokong kesejahteraan tubuh. Pengisian diteruskan melalui aktiviti praktikal secara berkumpulan yang membolehkan peserta mempraktikkan ilmu yang dipelajari, antaranya demonstrasi penjagaan luka ringan, enam (6) langkah mencuci tangan serta Bengkel Dapur Probiotik yang memperkenalkan penyediaan tempoyak dan minuman yogurt.

Pendekatan pembelajaran secara amali itu memberi peluang kepada peserta untuk bukan sahaja memahami aspek kesihatan, malah melihat dan mencuba sendiri amalan yang boleh diterapkan dalam kehidupan harian.

Sebagai kesinambungan usaha pemulihan, peserta turut diperkenalkan kepada Kad Kecemerlangan Bio-Pulih yang direka sebagai alat pemantauan kendiri selama 180 hari berasaskan lapan (8) prinsip Bio-Pulih. Prinsip tersebut merangkumi penjagaan kesihatan usus, penjagaan asas gigi, gaya hidup sihat dan aktif, rutin penjagaan diri, pengukuhan rohani, kebersihan tangan, rehat berkualiti serta kepentingan hidrasi.

Peserta turut melafazkan Ikrar Bio-Pulih sebagai simbol komitmen untuk terus berusaha memperbaiki diri dan membina semula kehidupan secara berperingkat sepanjang tempoh pemulihan.

Pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen USM dalam menghubungkan kepakaran akademik dengan keperluan masyarakat melalui pendekatan pendidikan kesihatan yang praktikal, inklusif dan berorientasikan komuniti. Kerjasama antara USM, AADK dan komuniti diharap dapat membantu peserta membina amalan hidup yang lebih sihat serta menyokong perjalanan pemulihan secara berterusan.

Sumber Laporan & Foto: Dr. Nik Zuraina Nik Mohd Noo

  • Created on .
  • Hits: 124