USM BAWA PENDIDIKAN PERGIGIAN INKLUSIF KE KOMUNITI LUAR BANDAR
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 3 Februari 2026 – Sebagai usaha mengurangkan jurang ketidaksamaan pendidikan kesihatan antara komuniti bandar dan luar bandar dengan memberi akses kepada pendidikan kesihatan yang sistematik, inklusif dan berkualiti, Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) telah menganjurkan program ‘Senyuman dan Jatidiri: Pendidikan Pergigian dan Sahsiah Kanak-Kanak’ di Sekolah Kebangsaan Star, Gua Musang pada 29 hingga 31 Januari lalu.


Program yang melibatkan 60 orang murid dan 18 sukarelawan itu antara lain bertujuan meningkatkan tahap pengetahuan kanak-kanak luar bandar mengenai kesihatan pergigian melalui pendekatan pendidikan interaktif seperti penceritaan, permainan dan kuiz yang menyeronokkan dan mudah difahami.


Selain itu, program ini juga bertujuan membentuk amalan penjagaan mulut yang betul dalam kalangan murid melalui bengkel praktikal seperti teknik memberus gigi, penggunaan tablet pewarna plak dan aktiviti ‘hands-on’ yang memberi pengalaman secara langsung.


Program yang turut mendapat kerjasama daripada Klinik Pergigian Dr. Emma Saz, syarikat MediCOM Malaysia, Yana Optometris Enterprise dan Farah Hearing Expert ini turut diisi dengan pemeriksaan kesihatan asas termasuk pemeriksaan mata dan telinga bagi menjamin kelancaran serta keberkesanan proses pembelajaran harian murid.


Nilai keprihatinan sosial turut diterjemahkan dalam program ini melalui aktiviti khidmat komuniti tambahan melibatkan kerja-kerja pembersihan tandak air sekolah, iaitu sistem takungan air yang membekalkan air secara berterusan kepada kegunaan harian sekolah.
Sumber Laporan & Foto: Profesor Madya Dr. Raja Azman Raja Awang
- Created on .
- Hits: 308