Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

USM BERI PENDEDAHAN PENCEGAHAN PENYAKIT KEPADA PETANI IADA KETARA

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 Ogos 2026 – Petani merupakan antara kelompok pekerjaan yang berdepan dengan pelbagai risiko kesihatan akibat pendedahan berterusan kepada persekitaran kerja yang mencabar.

Aktiviti pertanian yang melibatkan tanah, air, haiwan, peralatan pertanian serta keadaan cuaca yang berubah-ubah boleh meningkatkan risiko jangkitan pelbagai penyakit berjangkit seperti melioidosis, leptospiral, tifoid, jangkitan cacing dan pelbagai lagi. Selain itu, amalan kebersihan yang kurang sempurna, kecederaan semasa bekerja, penggunaan peralatan yang tercemar serta kurangnya penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE) turut boleh menyumbang kepada penyebaran penyakit dan menjejaskan tahap kesihatan petani.

Oleh itu, kesedaran terhadap aspek pencegahan penyakit, kebersihan diri dan keselamatan pekerjaan perlu sentiasa diperkukuh bagi memastikan kesejahteraan golongan petani serta kelangsungan sektor pertanian negara.

Menyedari kepentingan isu tersebut, pasukan daripada Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Program KPT Prihatin MADANI: Program Pencegahan Penyakit Berjangkit dalam Kalangan Petani IADA KETARA: Petani Sihat, Sawah Selamat pada 3 Ogos lalu.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA KETARA) itu dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif pemindahan ilmu kepada komuniti petani di bawah seliaan IADA KETARA bagi meningkatkan tahap pengetahuan dan kesedaran petani mengenai kepentingan pencegahan penyakit berjangkit serta amalan kerja yang selamat dan sihat.

Program ini antara lain bertujuan meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan amalan petani IADA KETARA berkaitan pencegahan penyakit berjangkit melalui pendedahan kepada aspek kebersihan diri, keselamatan semasa bekerja, penggunaan PPE yang betul serta pengendalian peralatan pertanian secara selamat.

Di samping itu, program ini turut memberi penekanan kepada kepentingan kebersihan tangan dan pencegahan pencemaran silang melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif dan praktikal.

Program ini diharap dapat memperkasakan komuniti petani dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan dalam menjaga kesihatan serta keselamatan diri. Melalui usaha berterusan seperti ini, USM terus memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pembangunan komuniti yang lebih sihat, produktif dan berdaya tahan.

Sumber Laporan & Foto: Dr. Tuan Noorkorina Tuan Kub

  • Created on .
  • Hits: 186