USM BIMBING REMAJA URUS STRES SECARA SIHAT MELALUI PROGRAM REMAJA TENANG, MINDA CEMERLANG
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 9 Disember 2025 – Sebagai usaha membantu pelajar memahami punca stres dan kemarahan di samping memperkenalkan pelbagai strategi ‘coping’ dalam menangani tekanan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Program ‘Explorace’ Emosi: Remaja Tenang, Minda Cemerlang di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Chat, Kota Bharu, pada 1 Disember lalu.


Program ini antara lain bertujuan memupuk kemahiran komunikasi beretika dalam situasi mencabar serta menggalakkan pelajar mengamalkan strategi pengurusan stres dalam kehidupan seharian sebagai sokongan kepada pembelajaran sepanjang hayat. Program yang disertai kira-kira 180 orang pelajar ini merangkumi aktiviti pendidikan, latihan dan intervensi relaksasi bagi meningkatkan kesedaran pengurusan stres dalam kalangan pelajar. Selain itu, program ini turut diisi dengan ceramah pengurusan stres dan kuiz interaktif oleh Profesor Madya Dr. Garry Kuan bagi memberikan kefahaman tentang punca stres serta cara mengawal emosi.


Para peserta juga didedahkan dengan aktiviti utama program ini iaitu ‘Explorace’ Emosi yang terdiri daripada empat (4) stesen iaitu Terapi Seni – ‘Colour Your Calm’ di mana pelajar mengekspresikan emosi melalui warna untuk mewujudkan ketenangan dan fokus; Terapi Muzik – ‘Tune Out Stress’ yang menggunakan muzik sebagai medium relaksasi dan pengurusan emosi; Relaksasi Otot Progresif – ‘Move to Improve’ yang memfokuskan kepada teknik melegakan ketegangan otot secara berperingkat dan Senaman ‘Brain Breaks’ – ‘Mindful Minutes’ yang melibatkan sesi senaman berperingkat berdasarkan video ringkas bagi menyegarkan minda, meningkatkan tumpuan dan membantu pelajar berehat secara aktif.


Program yang mendapat sokongan dana SULAM (Service Learning Malaysia–University for Society) Semester 1 Sidang Akademik 2025/2026 melalui Bahagian Akademik dan Antarabangsa USM ini dipercayai dapat memperkukuh peranan USM sebagai institusi pengajian tinggi yang aktif dalam usaha pemerkasaan komuniti melalui aktiviti kesihatan mental. Ia menyokong misi USM sebagai ‘scholarly-engaged institution’ dengan memupuk nilai kesukarelawan, kepimpinan pelajar dan hubungan strategik antara USM dan sekolah selain dilihat dapat memperluas jaringan kolaborasi dalam komuniti selaras dengan agenda pembangunan akademik dan sosial universiti.

Sumber Laporan & Foto: Adam Arief Norbasudi & Profesor Madya Dr. Siti Marwanis Anua
- Created on .
- Hits: 457