USM BINA RUANG REHAT KOMUNITI LESTARI CETUS SUASANA TENANG DAN HIJAU DALAM KAMPUS
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 9 Oktober 2025 - Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh komitmen terhadap agenda kelestarian melalui pembinaan Ruang Rehat Komuniti Lestari yang diwujudkan di Laman Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Kampus Kesihatan USM.


Berteraskan tema ‘Inklusif, Tenang, Lestari’, ruang ini menjadi simbol keseimbangan antara keindahan alam dan kesejahteraan komuniti. Ia dibangunkan sebagai tempat rehat dan refleksi untuk pesakit, pelawat, pelajar serta staf, di samping menanam kesedaran terhadap kepentingan kelestarian alam sekitar dan kesihatan mental.


Projek ini dibiayai sepenuhnya melalui Dana Awam Baitulmal Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dengan kos keseluruhan RM20,779 dan dilaksanakan bersama Jawatankuasa Kelestarian PPSG, Pertubuhan Gabungan Bantuan Bencana NGO (BBNGO) Malaysia serta di bawah seliaan Bahagian Pengurusan Projek, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti, Kampus Kesihatan USM.

Ruang rehat ini menampilkan konsep hijau dengan gazebo dan kerusi kayu, tanaman hiasan, laluan ‘stepping stones’ serta jambatan kecil yang menonjolkan suasana semula jadi dan harmoni.


Perasmian ruang rehat ini merupakan sebahagian daripada pengisian Hari Terbuka PPSG USM yang diadakan hari ini dan telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Baitulmal MAIK, Ustaz Ridhwan Abdul Rahman, dengan gimik penanaman pokok bunga melur sebagai simbolik kepada semangat hijau dan kerjasama strategik antara semua pihak.

Pelbagai aktiviti lain turut diadakan iaitu sesi sembang santai, ceramah kesihatan gigi, aktiviti interaktif, reruai pameran dan banyak lagi.

Turut hadir ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Shaiful Bahari Ismail; Dekan PPSG, Profesor Dr. Norhayati Luddin dan Bendahari BBNGO, Profesor Madya Dr. Mohd Rizal Mohd Zain.
Teks: Rosalwani Che Soh /Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 469