USM CETUS MINAT MBPK TEROKA DUNIA KESIHATAN PERGIGIAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 4 Oktober 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) mengambil inisiatif memberi pendedahan mengenai penjagaan kesihatan pergigian kepada 68 murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Kelantan menerusi program Jom Kenali Dunia Pergigian: Senyum Ceria, Gigi Sihat! pada 24 September lalu.

Program yang berlangsung di Bilik Tutorial A, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Kampus Kesihatan USM itu dilaksanakan dengan kerjasama SSB Health Sdn. Bhd. dan Persatuan Orang Pekak Kelantan (POPK) serta sokongan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas.


Program ini diadakan bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran murid-murid SKPK terhadap penjagaan kesihatan pergigian, mental dan fizikal selain menilai penerimaan dan keberkesanan penggunaan aplikasi Pendidikan Kesihatan Dr. KGT dalam membantu murid memahami serta mengamalkan penjagaan kesihatan pergigian dengan lebih baik.


Selain itu, ia juga bertujuan memberi pendedahan asas penjagaan kesihatan pergigian kepada MBPK menerusi pendekatan interaktif, visual dan berasaskan pengalaman yang disesuaikan dengan keperluan pembelajaran mereka.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah ‘Jom Kenali Gigi Kita!’ yang merangkumi pertandingan memberus gigi yang efisien menggunakan aplikasi pendidikan kesihatan (APK) melalui aplikasi Dr. KGT, video latihan memberus gigi serta nyanyian santai menerusi lagu Kacip, Geraham dan Taring.

Peserta turut berpeluang melawat Galeri Interaktif Sains Perubatan (SPICES) yang memberi pengalaman pembelajaran sains perubatan secara interaktif.
Inisiatif tersebut bukan sahaja meningkatkan pengetahuan MBPK mengenai penjagaan kesihatan pergigian, malah membuka ruang kepada mereka untuk belajar, berinteraksi dan meneroka persekitaran universiti, sekali gus mencerminkan komitmen USM dalam memperluas akses pendidikan kesihatan yang inklusif kepada komuniti berkeperluan khas.

Sumber Laporan & Foto: Dr. Noor Huda Ismail dan Profesor Madya Dr. Raja Azman Raja Awang
- Created on .
- Hits: 153