USM DAN MCPF BERGANDING BAHU TANGANI GEJALA SOSIAL PELAJAR KELANTAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 Oktober 2025 – Sebagai usaha memberi kesedaran berkaitan gejala sosial di Kelantan dan Malaysia kepada para pelajar sekolah, Program Sains Forensik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kelantan telah menganjurkan program Syarahan Bersiri Sains Forensik pada 22 September lalu.


Program ini dirangka khusus bertujuan untuk membantu mencegah gejala sosial dan jenayah selain memperkenalkan kaedah sains forensik dalam menyelesaikan kes-kes jenayah dalam kalangan pelajar sekolah menengah di negeri Kelantan, dengan siri pertama dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Chabang Empat, Tumpat.


Program ini bukan sahaja merupakan satu usaha pendidikan, malah sebuah langkah proaktif dalam usaha pencegahan jenayah, khususnya dalam kalangan para pelajar sekolah menengah di negeri Kelantan. Gejala sosial seperti buli, penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas, jenayah siber dan merokok semakin membimbangkan dan memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh serta berkesan. Melalui program ini, para pelajar bukan sahaja didedahkan kepada peranan sains forensik dalam penyelesaian jenayah, tetapi juga diberikan kesedaran tentang kesan buruk gejala sosial, serta bagaimana untuk membuat pilihan yang betul dalam kehidupan seharian.



Program ini juga menyokong beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) termasuk SDG4: Pendidikan Berkualiti, SDG16: Kedamaian dan Keadilan serta SDG17: Perkongsian Strategik iaitu selaras dengan hasrat untuk melahirkan masyarakat yang aman, sejahtera dan berintegriti tinggi. Semoga program ini memberi manfaat yang besar dan menjadi titik tolak ke arah pembentukan generasi muda yang lebih beretika, berilmu dan bertanggungjawab.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Noor Zuhartini Md Muslim
- Created on .
- Hits: 314