USM DAN TNI AL ERAT KERJASAMA RENTAS SEMPADAN DALAM BIDANG KESIHATAN KETENTERAAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 Oktober 2025 – Seminar Kesihatan sempena Hari Kesehatan Angkatan Laut (HARKESAL) 2025 merupakan inisiatif berimpak tinggi yang menghimpunkan pakar perubatan, pegawai kesihatan, anggota tentera serta institusi akademik dan kesihatan dari pelbagai peringkat bagi membincangkan perkembangan terkini dalam bidang teknologi perubatan dan kesihatan maritim.

Seminar anjuran Pusat Kesehatan Tentara Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI AL) dengan kerjasama Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) serta beberapa organisasi strategik lain ini bertujuan memperkukuh profesionalisme tenaga kesihatan dan memperluas kerjasama antara bidang perubatan, teknologi serta pertahanan dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan dan kesiapsiagaan ketenteraan.

Seminar yang berlangsung di Hotel Mercure Grand Mirama Surabaya, Indonesia pada 23 Oktober lalu ini diisi dengan pelbagai aktiviti ilmiah seperti pembentangan kertas kerja, forum pakar dan sesi perkongsian penyelidikan yang menampilkan topik berkaitan inovasi teknologi kesihatan, aplikasi digital dalam pengurusan perubatan, serta peranan teknologi maklumat dalam meningkatkan kecekapan sistem kesihatan tentera laut.


Selain itu, pertandingan karya tulis ilmiah turut diadakan bagi memberi peluang kepada peserta mempersembahkan idea baharu yang berpotensi memperkukuh sistem kesihatan maritim dan ketenteraan. Melalui seminar ini, peserta dapat bertukar pandangan, memperluas pengetahuan dan memperbaharui pemahaman terhadap kemajuan sains perubatan sejajar dengan perkembangan global.


Seminar ini juga mengetengahkan HPUSM sebagai pusat kepakaran dan rujukan yang aktif dalam menjalin kerjasama antarabangsa dalam bidang kesihatan ketenteraan dan hiperbarik.
Sumber Laporan & Foto: Zulhisyam Amirul Zakaria
- Created on .
- Hits: 92