USM DEKATI KOMUNITI MENERUSI PROGRAM SANTUN BAHASA DAN LESTARI BUMI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 6 Ogos 2026 – Bagi memartabatkan bahasa menerusi peningkatan kemahiran berbahasa dalam kalangan murid di samping menyemai kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar, Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (PPBLT), Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Program Santun Bahasa dan Lestari Bumi di Sekolah Kebangsaan Pasir Tumbuh, Gua Musang, pada 3 Ogos lalu.

Program yang disertai oleh 38 orang murid itu berjaya mencapai objektif penganjurannya menerusi pelbagai aktiviti yang mengukuhkan kemahiran berbahasa, membentuk sahsiah serta meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab memelihara alam sekitar.


Sepanjang program berlangsung, para peserta mengikuti aktiviti literasi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris serta pelbagai aktiviti kelestarian yang memberi pendedahan kepada amalan hijau dan gaya hidup lestari. Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman yang diterapkan membolehkan murid menghayati nilai kesantunan berbahasa dalam kehidupan seharian di samping mengamalkan sikap menjaga kebersihan persekitaran, mengurangkan pencemaran dan menghargai sumber semula jadi.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif pendidikan lestari, program tersebut turut menyaksikan penubuhan Perpustakaan Mini hasil sumbangan buku daripada Perpustakaan Hamdan Tahir dan warga PPBLT. Inisiatif ini diharap dapat memupuk budaya membaca secara berterusan serta menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang berilmu, beradab dan lestari.

Penganjuran program ini juga menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 17: Kerjasama Demi Matlamat, melalui jalinan kerjasama antara universiti dan pihak sekolah dalam menyediakan pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada murid.

Program seumpama ini menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara institusi pengajian tinggi dengan komuniti setempat, sekali gus menyemai nilai murni, memupuk budaya membaca serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan bahasa dan kelestarian alam sekitar dalam kalangan generasi muda.


Sumber Laporan & Foto: Roshanizam Ibrahim
- Created on .
- Hits: 76