Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

USM DEKATI KOMUNITI PEDALAMAN MELALUI SARINGAN KESIHATAN JANTUNG

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 18 Jun 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Unit Kardiologi, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) terus komited memperkukuh agenda kesejahteraan rakyat apabila berjaya melaksanakan Program Pemeriksaan Kesihatan Jantung Unit Kardiologi HPUSM- KPT Prihatin MADANI di bawah inisiatif ‘COMPASSION’ (Community Program for Sustainable Impact Mission) di Kampung Sungai Miak, Janda Baik, Bentong, Pahang pada 12 Jun lalu.

1000271941

Pelaksanaan program ini membuktikan keberkesanan pendekatan saringan bergerak (mobile screening) dalam membawa perkhidmatan kesihatan pakar ke kawasan pedalaman, khususnya bagi mengesan penyakit jantung dan penyakit kronik pada peringkat awal sebelum berlakunya komplikasi yang lebih serius. Inisiatif ini menyasarkan komuniti yang tinggal jauh daripada akses perkhidmatan pakar kardiologi.

1000271943

Program berimpak tinggi ini diketuai oleh Dr. Siti Aisyah Hussin selaku Pengarah Projek yang juga Felo Kardiologi di HPUSM bersama Profesor Dato’ Dr. Zukurnai Yusof, Profesor Madya Dr. W. Yus Haniff W. Isa, Dr. Nor Hanim Mohd Amin dan Profesor Dr. Alan Fong Yean Yip selaku penasihat program.

1000271945

Program ini juga bertujuan menjalankan pemeriksaan kesihatan umum serta menawarkan perkhidmatan ekokardiografi kepada golongan wanita umur reproduktif dan peserta yang mempunyai simptom berkaitan penyakit jantung atau kegagalan jantung, termasuk individu dengan bacaan tekanan darah yang tidak terkawal. Program ini turut menekankan kepentingan penjagaan kesihatan jantung melalui kawalan tekanan darah dan paras gula darah menerusi perubahan gaya hidup sihat.

1000271947

Pelbagai aktiviti dilaksanakan sepanjang program berlangsung termasuk pemeriksaan tekanan darah, saringan elektrokardiogram (ECG), pemeriksaan gula dalam darah (capillary blood sugar, CBS), penilaian faktor risiko penyakit kardiovaskular, konsultasi kesihatan bersama doktor pakar perubatan, saringan ekokardiogram (ECHO), pendidikan kesihatan serta sesi kaunseling berkaitan amalan gaya hidup sihat. Program ini turut merangkumi intervensi bagi pengurusan dan pencegahan Diabetes Mellitus, di samping pengagihan bantuan kebajikan kepada komuniti setempat.

1000271949

Aspek pencegahan penyakit turut diberi penekanan termasuk kepentingan berhenti merokok, pengurusan berat badan, pemakanan rendah garam dan gula serta amalan bersenam secara berkala sebagai langkah menurunkan tekanan darah dan paras gula dalam badan. Peserta juga diberi penerangan mengenai kepentingan pengambilan ubat-ubatan yang dibekalkan oleh klinik secara teratur dan berterusan.

1000271951

Seramai 150 orang menerima manfaat daripada penganjuran program ini terdiri daripada 63 orang dewasa yang menjalani pemeriksaan kesihatan, 47 orang dewasa yang menerima pek bahan makanan asas, serta 40 orang kanak-kanak. Agihan sumbangan turut melibatkan 200 pek makanan sedia dimakan, 150 pek bahan makanan asas (bakul dapur), serta 100 pek hadiah dan permainan kanak-kanak.

1000271953

1000271955

Selain itu, sebanyak 10 unit mesin bacaan gula telah diedarkan secara percuma kepada 10 orang peserta terpilih bagi menggalakkan amalan pemeriksaan kendiri paras gula. Hasil saringan komprehensif mendapati sebanyak 16 kes dikenal pasti untuk tindakan susulan, dengan 14 kes dirujuk ke klinik kesihatan berhampiran, manakala dua (2) kes dirujuk ke Hospital Bentong dan Hospital Kuala Lipis. Di samping itu, seramai 40 peserta telah menjalani pemeriksaan ekokardiografi dengan beberapa penemuan abnormal dirujuk ke hospital berkaitan untuk rawatan lanjut.

1000271957

Kejayaan penganjuran program ini mencerminkan sinergi kukuh antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), USM, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Persatuan Kardiologi Pantai Timur Malaysia (MECCS), National Heart Association of Malaysia (NHAM) serta komuniti setempat dalam memperkasakan agenda kesihatan rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Sumber Laporan & Foto: Nurul Syahira Abdul Rahim

  • Created on .
  • Hits: 334