USM DEKATI KOMUNITI RANTAU MANIS MELALUI PROGRAM CAKNA KESIHATAN WANITA DAN KESEDARAN KANSER
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 September 2026 – Dalam usaha meningkatkan kesedaran golongan wanita mengenai kepentingan penjagaan kesihatan diri dan bahaya penyakit kanser, Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama pelbagai agensi tempatan dan rakan industri menganjurkan Program Cakna Kesihatan Wanita dan Kesedaran Kanser di Taman Agropolitan Rantau Manis, Gua Musang pada 26 September lalu.

Program ini juga bertujuan memberi pendedahan mengenai kanser payudara dan kanser pangkal rahim serta menggalakkan pengesanan awal melalui saringan kesihatan serta meningkatkan amalan gaya hidup sihat.

Bertemakan “Sihat Wanita, Keluarga Bahagia, Komuniti Sejahtera”, program tersebut membuktikan bahawa kesihatan wanita merupakan asas penting dalam mewujudkan keluarga yang sejahtera dan masyarakat yang mampan.

Penganjuran program ini mendapat kerjasama daripada Klinik Kesihatan Jeram Tekoh, Panel Kesihatan Klinik Kesihatan Jeram Tekoh dan Pejabat Operasi Rantau Manis KESEDAR Gua Musang.

Dengan penganjuran program ini, ia turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan melalui usaha memperluaskan akses kepada maklumat dan perkhidmatan kesihatan berkualiti, selain SDG 17: Rakan Kerjasama untuk Matlamat menerusi pengukuhan kolaborasi antara institusi akademik, agensi kerajaan dan sektor swasta.


Selain memberi manfaat kepada peserta, program ini turut menekankan elemen kelestarian kesihatan komuniti melalui pengesanan awal penyakit berisiko tinggi seperti penyakit kardiovaskular dan kanser, sekali gus membantu membentuk komuniti yang lebih peka terhadap penjagaan kesihatan.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Zainab Mat Yudin @Badrin
- Created on .
- Hits: 135