USM DIDIK PELAJAR SMK PANJI TENTANG KESIHATAN ORAL DAN BAHAYA ROKOK
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 12 Oktober 2026 – Kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan oral serta risiko penggunaan rokok dan rokok elektronik dalam kalangan remaja diberi perhatian menerusi Program Pemerkasaan Kesihatan Oral Pelajar melalui Program Pendidikan e-Gusi dan Pencegahan Rokok dan Rokok Elektronik yang melibatkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji pada 6 Oktober lalu.

Program anjuran Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM) itu bertujuan meningkatkan pengetahuan pelajar, membentuk sikap positif dan menggalakkan amalan penjagaan kesihatan oral serta gaya hidup sihat.
Pelbagai aktiviti dilaksanakan, termasuk soal selidik pra-program, pemeriksaan asas kesihatan mulut, ceramah pendidikan, kuiz, demonstrasi penjagaan kebersihan mulut dan aktiviti berkumpulan bersama fasilitator bagi mewujudkan pengalaman pembelajaran yang interaktif.

Tiga (3) ceramah utama yang disampaikan ialah ‘Rokok dan Vape: Pilihan Hari Ini, Risiko Seumur Hidup’, ‘Gusi Sihat, Senyuman Hebat!’ dan ‘Luka Mulut Biasa atau Tanda Bahaya?’. Ceramah tersebut memberikan pendedahan tentang risiko penggunaan rokok dan rokok elektronik, kepentingan penjagaan gusi serta perubahan atau luka dalam mulut yang memerlukan pemeriksaan lanjut.

Menerusi modul e-Gusi, pelajar turut didedahkan kepada teknik memberus gigi yang betul, penggunaan flos dan berus interdental bagi membantu mereka mengamalkan penjagaan kesihatan oral dengan berkesan dalam kehidupan seharian.

Program ini turut memperkenalkan ‘Kad e-Gusi’ yang dilengkapi kod QR bagi memudahkan pelajar mengakses maklumat penjagaan kesihatan oral, platform JomQuit, maklumat perkhidmatan berhenti merokok serta perkhidmatan Klinik Periodontik USM. Kad tersebut disediakan sebagai bahan rujukan berterusan yang boleh dimanfaatkan selepas program.

Pelajar yang memerlukan pemeriksaan atau rawatan lanjut turut diberikan panduan untuk mendapatkan perkhidmatan pergigian yang bersesuaian bagi memastikan keperluan kesihatan oral mereka mendapat perhatian sewajarnya.

Selain meningkatkan pengetahuan tentang kesihatan, program ini turut menggalakkan perkongsian ilmu antara warga universiti dengan komuniti sekolah serta mendorong pelajar menyampaikan mesej kesihatan kepada rakan sebaya dan ahli keluarga.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen USM melalui PPSG dalam melaksanakan pendidikan kesihatan berasaskan komuniti, khususnya bagi membentuk kesedaran awal tentang penjagaan kesihatan oral dan pencegahan penggunaan produk tembakau dalam kalangan generasi muda.

Sumber Laporan dan Foto: Dr. Nurul Wahida Mohd Hasan
- Created on .
- Hits: 152