USM HOS PELANCARAN PROGRAM RANCAKKAN MADANI KELANTAN OLEH PERDANA MENTERI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 9 Ogos 2025 – Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi lokasi pelancaran Program Rancakkan MADANI Negeri Kelantan dan Program Aku Kasih Malaysia yang telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM hari ini.


Program anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Pejabat Perdana Menteri ini telah dihadiri hampir 2,000 peserta terdiri daripada pelbagai organisasi bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan, persatuan belia dan komuniti sekitar. Program ini bertujuan memperkukuh semangat perpaduan, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta menggerakkan agenda pembangunan inklusif selaras dengan prinsip Malaysia MADANI.


Pelancaran Aku Kasih Malaysia yang diadakan sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia menjadi wadah untuk menyemarakkan semangat kenegaraan, memperteguh rasa cinta kepada tanah air serta memupuk identiti nasional yang utuh dalam kalangan rakyat di seluruh negara sepanjang bulan kemerdekaan.


Pelbagai program diadakan termasuk usaha Bicara Kenegaraan bagi mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records, Program Ekspresi Merdeka, Pertandingan Video Kreatif, Pertandingan Pantomim Kenegaraan dan Kembara Kasih Malaysia.


USM menyokong sepenuhnya agenda kerajaan dalam memperkukuh perpaduan nasional dan membina masyarakat berdaya saing, berilmu serta berjiwa patriotik. Keterlibatan USM dalam penganjuran program sebegini membuktikan komitmen universiti untuk terus menjadi rakan strategik dalam usaha merealisasikan matlamat pembangunan negara yang inklusif dan sejahtera.


Turut hadir memeriahkan majlis ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Menteri Besar Kelantan, Dato’ Haji Mohd Nassuruddin Haji Daud; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Ketua Pengarah AKM, Dato’ Dr. Haji Roslan Hussin serta Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail.
Teks : Muhamad Iqbal Bashah Ahmad Basha Ruddin / Foto : Wan Rashidi Wan Mood
- Created on .
- Hits: 237