USM JADI PLATFORM INSPIRASI PELAJAR KOLEJ MARA KULIM TEROKA PELUANG PENGAJIAN BIDANG KESIHATAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 19 April 2026 – Seramai 124 orang pelajar dari Kolej MARA Kulim (KMK) telah menyertai Program Lestari Kolej MARA Kulim 2026 yang berlangsung selama tiga (3) hari di Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) bermula semalam.

Program ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai suasana pembelajaran serta peluang pengajian dalam bidang kesihatan, khususnya di Kampus Kesihatan USM.


Sepanjang program berlangsung, para pelajar telah dibahagikan kepada tiga (3) kumpulan bagi mengikuti sesi lawatan akademik secara berperingkat di tiga (3) pusat pengajian utama iaitu Pusat Pengajian Sains Perubatan, Pusat Pengajian Sains Pergigian dan Pusat Pengajian Sains Kesihatan.


Antara pengisian program ini ialah taklimat akademik, sesi lawatan ke fasiliti pembelajaran, Makmal Teknologi Pergigian, Klinik Pergigian, Galeri Interaktif Sains Perubatan, perkongsian bersama warga fakulti bagi memberi gambaran jelas tentang laluan kerjaya dalam bidang berkaitan dan sesi temu duga bagi pelajar yang berminat mengikuti Program Doktor Perubatan di USM.

Program seumpama ini amat penting dalam membantu pelajar membuat persediaan awal sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Pendedahan secara langsung ini juga mampu meningkatkan minat serta keyakinan pelajar terhadap bidang sains kesihatan yang semakin berkembang.

Program seperti ini juga selari dengan usaha USM dalam memperkukuh peranannya sebagai pusat rujukan utama pendidikan kesihatan di Malaysia, di samping menyokong pembangunan bakat masa depan dalam bidang perubatan dan sains kesihatan.
Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto:Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 187