Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

USM - JKM METERAI PERJANJIAN PEMBERIAN GERAN PEMBANGUNAN MODUL ASUHAN DAN JAGAAN KANAK-KANAK OKU

PUTRAJAYA, 19 Ogos 2024 - Komitmen serta usaha berterusan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk memperkasakan golongan istimewa sekali lagi diberi perhatian apabila USM memeterai perjanjian pemberian geran bernilai RM800,000 bagi pembangunan Modul Asuhan dan Jagaan Kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hari ini.

IMG 20240819 WA0015

Majlis yang berlangsung di Menara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu antara lain bakal memberi manfaat untuk membangunkan modul asuhan dan jagaan kanak-kanak istimewa yang merupakan kerjasama strategik antara USM sebagai rujukan kepakaran dan pembangunan modul menerusi Pusat Transformasi OKU USM - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (PTOKU USM - MAIK), manakala JKM sebagai agensi pelaksana menerusi taska-taska kelolaan JKM.

IMG 20240819 WA0017

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail hadir mewakili Naib Canselor USM bagi pemeteraian perjanjian tersebut manakala JKM diwakili oleh Pengarah Jabatan Pembangunan OKU, Zuhami Omar.

IMG 20240819 WA0014

Selain daripada USM, pada majlis sama turut berlangsung pemeteraian antara JKM bersama Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi tujuan yang sama.

IMG 20240819 WA0016

Turut hadir ialah Ketua PTOKU USM-MAIK, Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim; Pengarah Bahagian Pengurusan JKM, Hanani Sidek; pegawai-pegawai kanan KPWKM, JKM serta wakil-wakil Institut Pengajian Tinggi yang terbabit.

Teks/ Foto: Amyrulhan Azhari/ Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim

  • Created on .
  • Hits: 234