USM - KKM JALIN KERJASAMA STRATEGIK LAHIRKAN KAUNSELOR PENYUSUAN SUSU IBU BERTAULIAH
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 Januari 2026 - Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi membuktikan komitmennya dalam memperkasa pendidikan berterusan secara inovatif apabila mencipta sejarah sebagai institusi perintis dalam pelaksanaan Kursus Microcredential Kaunseling Penyusuan Susu Ibu. Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan USM dalam meluaskan akses pembelajaran secara dalam talian, melangkaui sempadan fizikal kampus dan menepati keperluan semasa perkhidmatan kesihatan negara.

Kursus ini merupakan hasil usahasama strategik antara Unit Laktasi Hospital Pakar USM (HPUSM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), yang telah dibangunkan secara teliti selama lebih satu tahun.
Pelaksanaannya adalah bertujuan melahirkan lebih ramai kaunselor penyusuan susu ibu yang kompeten, bertauliah dan bersedia untuk berkhidmat dalam pelbagai fasiliti kesihatan di seluruh Malaysia. Kursus ini ditawarkan dalam bentuk pembelajaran hibrid, merangkumi pembelajaran secara dalam talian berasaskan Manual Kaunseling Penyusuan Susu Ibu, diikuti dengan sesi bersemuka bagi melengkapkan kemahiran praktikal dan aplikasi klinikal peserta.

Sebagai permulaan, HPUSM mengambil inisiatif melaksanakan kursus ini sebagai projek perintis, melibatkan seramai 20 orang peserta. Peserta telah mengikuti sesi pembelajaran dalam talian selama sebulan bermula 21 Disember 2025 hingga 19 Januari 2026, sebelum meneruskan sesi latihan bersemuka selama dua (2) hari pada 20 dan 21 Januari lalu.

Penganjuran kursus ini merupakan satu langkah strategik dan bermakna, sejajar dengan pengiktirafan ‘Baby Friendly Hospital Initiative’ yang diterima oleh HPUSM serta komitmen berterusan hospital dalam menyokong amalan penyusuan susu ibu dan kesejahteraan ibu dan bayi.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Nurul Sakinah Zabidi Azhar
- Created on .
- Hits: 162