USM KOMITED BANGUNKAN POTENSI OKU PENGLIHATAN MELALUI KURSUS KEMAHIRAN KOMPUTER
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 Mei 2026 – Sebagai usaha memperkukuh kepimpinan berteraskan nilai ihsan dan inklusiviti di Universiti Sains Malaysia (USM) dengan memberi tumpuan kepada kebajikan serta pembangunan potensi staf Orang Kurang Upaya (OKU), Pusat Transformasi Insan (PTI) Kampus Kesihatan telah menganjurkan Kursus Pemerkasaan Kemahiran Komputer OKU Penglihatan pada 26 hingga 30 April lalu.

Kursus ini dilaksanakan untuk mengenal pasti keperluan dan cabaran golongan ini secara langsung di samping menyediakan peluang pembangunan kemahiran, khususnya dalam aspek digital, agar mereka dapat menyumbang secara aktif dan mencapai kecemerlangan dalam persekitaran kerja.

Kursus yang diadakan di Pusat Transformasi OKU USM-Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) ini dikendalikan oleh Eksekutif Kanan ICT, Persatuan Orang Buta Malaysia yang juga merupakan seorang OKU penglihatan, Hafiyyan Lali. Penyampaian beliau yang praktikal, autentik dan penuh inspirasi berjaya menyuntik keyakinan serta semangat baharu kepada semua peserta OKU penglihatan yang menyertai kursus ini.

Kursus ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran teknikal dan keyakinan diri peserta, malah memperkukuh imej USM sebagai institusi pendidikan tinggi yang mengangkat nilai inklusiviti dan kemanusiaan selain membuktikan bahawa golongan OKU mampu menjadi penyumbang signifikan kepada kecekapan penyampaian perkhidmatan universiti.

Penganjuran kursus ini ialah inisiatif Jabatan Pendaftar melalui PTI untuk memperkasa pembangunan staf OKU secara holistik, sekali gus menzahirkan komitmen USM sebagai institusi inklusif dan berimpak tinggi tanpa meminggirkan mana-mana golongan.
Sumber Laporan & Foto: Siti Nur Syahirah Suhaimi
- Created on .
- Hits: 93