USM KOMITED PERKASA GOLONGAN TERKEBAWAH MELALUI PROGRAM SULUNG USM
USM, KOTA BHARU, KELANTAN, 24 September 2023 - Keinginan untuk menjejakkan kaki ke menara gading tentunya impian semua orang.
Walau bagaimanapun, kekangan kewangan merupakan antara halangan terutamanya pelajar daripada keluarga dengan latar belakang sosioekonomi rendah.
Justeru, Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Transformasi Agenda APEX terus memperkasakan golongan terkebawah (bottom billion) dengan menawarkan Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) USM kepada pelajar Semester I, Sidang Akademik 2023/2024.
Program SULUNG bertujuan membantu generasi pertama dalam keluarga B40 yang berjaya melanjutkan pengajian ke USM peringkat Ijazah Sarjana Muda namun tidak berpeluang meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi akibat kekangan kewangan.
Proses temu bual dan saringan calon SULUNG USM telah dijalankan minggu lalu secara berperingkat melibatkan calon yang berada di negeri Kelantan, Terengganu, Kuala Lumpur dan Selangor.
Calon SULUNG USM yang terpilih layak mendapat pengecualian yuran pengajian sepanjang tempoh pengajian mereka di samping manfaat lain seperti 'mentoring', pemantauan dan penasihatan akademik serta bimbingan kaunseling.
Program ini diharap dapat melahirkan siswa SULUNG USM yang seimbang dan holistik melalui program HEBAT (Holistic, Entrepreneurial, Balance, Articulate, Thinking) dan pembangunan akademik di USM selain dapat mengubah kehidupan keluarga pelajar dan kejayaan mereka dijadikan motivasi kepada adik-beradik yang lain serta komuniti setempat.
Turut terlibat dalam proses saringan calon SULUNG USM di Kampus Kesihatan ialah Timbalan Pendaftar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), Hafiz Assad Zakaria; Penolong Pendaftar Kanan BHEPA, Khairul Ithma Mahdi; Penolong Pendaftar Kanan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Mohamad Iqmal Mathlan; Penolong Pendaftar Kanan, PPSP, Nuur Hariyaty Mohamad Rasidi; Penolong Pendaftar Kanan Pusat Islam, Asheef Barkhia Yahya dan Penolong Pendaftar BHEPA, Suha Eza Ibrahim.
Sumber Laporan & Foto : Suha Eza Ibrahim
- Created on .
- Hits: 729